MIRI, 6 Julai: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Rosey Yunus berkata Sarawak berjaya dikelompokkan dalam negeri berpendapatan tinggi susulan kestabilan politiknya.
Menurutnya, pencapaian yang diciap Ketua Ahli Ekonomi Malaysia Bank Dunia, Dr Apurva Sanghi menerusi Twitternya, juga adalah hasil usaha agresif Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam mencari dana untuk Sarawak.
“Kalau kita lihat kepada statistik sedemikian, kita sangat berbangga. Kita sangat berterima kasih kerana di bawah pimpinan Premier yang sentiasa mencari cara atau dana untuk memastikan dana mencukupi bagi membiayai pembangunan,” katanya.
https://staging.tvsarawak.my/2023/07/06/sarawak-kini-negeri-berpendapatan-tinggi-pakar-ekonomi/
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Sarawak yang melepasi Ambang Pendapatan Tinggi 2022 dengan melebihi USD13,000 Pendapatan Negara Kasar (GNI) per kapita.
Rosey ditemui pada Pertandingan Forum Remaja Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Peringkat Negeri Sarawak 2023 di sini, hari ini.
Data itu turut menunjukkan Sarawak tergolong dalam kategori negeri berpendapatan tinggi di Malaysia bersama Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Labuan dan Kuala Lumpur.
Pada Julai 2021, Sarawak telah melancarkan satu dasar yang dipanggil Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang merupakan inisiatif untuk muncul sebagai negeri maju menjelang 2030 dan memberikan pendapatan tinggi kepada rakyatnya.
Abang Johari yakin dengan kejayaan strategi itu berdasarkan pengenalan Pelan Tindakan dan Pelaksanaan (AIP) PCDS 2030 yang meletakkan dengan jelas langkah serta tindakan yang perlu diambil untuk mencapai pembangunan baharu itu. – TVS