MIRI, 6 Julai: Pertandingan Forum Remaja Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Peringkat Negeri Sarawak 2023 membuka peluang kepada para peserta untuk mengemukakan hujah dengan bahasa Melayu yang betul.
Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, Abang Haliman Abang Julai berkata selain itu, ia juga memberi jalan kepada para peserta untuk berfikir dan mengemukakan idea secara kritis.
“Yang ketiga, kita cuba menyemarakkan bidang atau ilmu pengetahuan dalam kalangan pelajar kerana apabila berforum, kita melihat pelajar diberi peluang dan pengalaman untuk mengemukakan idea-idea menggunakan bahasa yang baik dan dengan demikian, mereka boleh meningkatkan lagi kemahiran berkomunikasi,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Pertandingan Forum Remaja Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak 2023 di sini, hari ini.
Forum Remaja lahirkan pelajar kreatif, inovatif, peka isu semasa – Abang Johari
Seorang peserta pertandingan tersebut, Angelie Sunting Henry yang mewakili Sekolah Menengah Jalan Riam, Miri memberitahu, pasukannya memilih topik ‘Bahasa Itu Jiwa Bangsa’ yang menekankan kepentingan penggunaan bahasa Melayu baku dalam kehidupan seharian.
Jelasnya, penggunaan bahasa rojak kini kian berleluasa dan sekali gus perlahan-lahan menenggelamkan martabat bahasa Melayu baku.
“Bagi kami pada era sekarang, bahasa rojak digunakan secara meluas. Memang banyak orang guna bahasa rojak. Pada pandangan kami, kita perlu menggunakan bahasa Melayu, kita perlu bertutur dalam bahasa Melayu yang betul.
“Kepentingannya adalah supaya generasi akan datang boleh menggunakan bahasa Melayu yang betul, bertutur dengan betul, menggunakan bahasa Melayu dengan fasih,” katanya.
Bagi pasukan Sekolah Menengah Chung Hua No. 1, Kuching pula, topik ‘Jagalah Kesantunan Bahasa Ketika Berbicara’ menjadi pilihan mereka dalam membincangkan kepentingan menjaga kesantunan berbahasa.
Pelajar sekolah berkenaan, Spencer Ting Tiew Yu dan Joanne Wong Tze Ling berkata kesantunan bahasa menjadi antara penyumbang dalam mewujudkan suasana harmoni dan mengelakkan perselisihan faham.
“Kepentingan kesantunan bahasa adalah untuk mewujudkan satu suasana yang kondusif dan juga harmoni di sesebuah sekolah supaya kita belajar dan mengajar dengan harmoni dan juga kondusif dan dapat belajar dengan lebih berkesan,” ujar Spencer.
“Saya berpendapat bahawa kepentingan menjaga kesantunan bahasa ketika berbicara adalah supaya keharmonian masyarakat terjamin kerana apabila kita bertutur dengan nada yang menenangkan atau menggunakan perkataan yang beradab, perselisihan faham tidak mudah berlaku dan perbualan atau perbincangan dapat berjalan dengan lebih lancar dan semua ini dapat menjamin ketenteraman masyarakat kita,” jelas Joanne.
Pertandingan Forum Remaja Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Peringkat Negeri Sarawak 2023 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka berlangsung hari ini.
Pertandingan tersebut dirasmikan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Rosey Yunus mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Enam pasukan bertanding di peringkat akhir dan tempat pertama dimenangi pasukan SMK Riam, Miri dengan tajuk ‘Masyarakat Penyayang Negara Sejahtera’. – TVS