SIBU, 5 Julai: Usaha mewajibkan satu rumah memiliki sekurang-kurangnya satu alat pemadam api membuktikan keprihatinan kerajaan Sarawak terhadap keselamatan penduduk terutama di rumah-rumah panjang.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Datu Khirudin Drahman berkata, komitmen tersebut dapat dilihat melalui cadangan Pindaan Ordinan Bangunan Sarawak yang akan dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.
Jelasnya hal tersebut penting ketika berdepan situasi kebakaran selain memberi lebih pendedahan kepada masyarakat bagi mempraktikkan amalan 3P iaitu pencegahan, pengawasan dan perlindungan.
“Kes-kes yang kita dapati di rumah panjang, mereka dapat menyelamatkan rumah panjang mereka kerana mereka ada alat pemadam api.
“Kerana kes-kes rumah yang hanya melibatkan bilik terbakar dapur terbakar dua peratus terbakar mereka memadam dengan alat pemadam api mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penutupan Program Celik-Suri Agensi Kolaboratif di Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah di sini, hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata pindaan tersebut sedang disemak.