KUCHING, 4 Julai: Pendaftaran Anugerah Kecemerlangan Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) 2023 kini dibuka kepada ahli atau bukan ahli SHEDA yang menekankan ciri inovasi dalam industri pembangunan hartanah.
Pengerusi Penganjur, Angie Kueh berkata, pemaju harus berpandangan jauh dan berimaginasi tinggi agar projek-projek di Sarawak dapat memenuhi jangkaan pembeli hartanah dari luar negara dan domestik.
“Pembangunan hartanah secara amnya memakan modal dan masa yang banyak, namun penting untuk kita mempunyai solusi baharu sekiranya kita ingin berkembang dan bergerak ke hadapan dalam ekonomi kita serta dapat memenuhi keperluan yang semakin meningkat.
“Meningkatkan keluaran pembuatan melalui inovasi adalah penting kerana Sarawak bukan merupakan pengilang untuk sebarang bahan buatan pembinaan, dan kita juga menghadapi kesan inflasi kini.
“Sarawak kini mula menarik pelaburan asing yang melihatkan kemasukan ekspatriat yang ingin membeli rumah di sini yang berkualiti tinggi, dengan ini SHEDA mengajak semua ahli dan orang yang terlibat dalam industri hartanah untuk menyertai anugerah ini agar kualiti hartanah boleh menjadi lebih baik saban tahun,” katanya pada sidang media pelancaran Anugerah Kecemerlangan SHEDA 2023 di sini, hari ini.
Angie yang juga merupakan Setiausaha Agung SHEDA turut berkata, dasar strategik yang menggabungkan sistem penyampaian canggih dalam industri pembangunan dan pembinaan adalah penting untuk memperkukuh industri hartanah.
Ini katanya, agar dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan boleh membina rumah yang mesra alam berasaskan 3R (Reduce, Reuse, Recycle).
“Penerimaan teknologi, automasi dan mekanisme dalam industri pembangunan hartanah akan menggalakkan syarikat dan perniagaan di Sarawak untuk membangunkan kekuatan pembuatan kita juga, yang seterusnya membuka pintu kepada pelaburan langsung asing melangkaui industri pembangunan hartanah.
“Sejajar dengan agenda hijau Kerajaan Sarawak, kewajaran telah diberikan kepada reka bentuk hijau, strategi dan program untuk menggalakkan pemaju hartanah dan pemilik projek untuk memberi tumpuan kepada manfaat peralihan bukan sahaja terhadap alam sekitar, tetapi juga terhadap pelaburan dan ekonomi,” katanya lagi.
Anugerah itu mempunyai lima kategori utama iaitu kediaman bertanah, pembangunan strata, pembangunan rumah mampu milik, komersial yang merangkumi pembangunan institusi dan campuran, serta persaingan dalam perancangan induk SHEDA.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Presiden SHEDA, Augustine C. H. Wong, Timbalan Presiden SHEDA, Louis Ting dan bekas Presiden SHEDA, Dato Ir. Sr Alex Ting Kuang Kuo. – TVS