IPOH, 4 Julai: Seorang mekanik kerugian RM200,000 selepas menyerahkan wang kepada seorang wanita yang mengugut untuk menyebarkan rakaman video aksi lucahnya.
Mangsa lelaki berusia 30 tahun itu tampil membuat laporan polis pada kira-kira 1.50 tengah hari semalam berhubung kejadian tersebut.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan mendapati mangsa telah berkenalan dengan seorang wanita menerusi laman sosial Facebook yang menggunakan nama Yaya.
Beliau berkata, ketika berbual di laman itu, suspek meminta mangsa menerima panggilan video sambil mendakwa ingin menunjukkan sesuatu yang istimewa.
“Selepas menjawab panggilan itu, mangsa melihat wanita tersebut dalam keadaan berbogel dan melakukan aksi ghairah.
“Mangsa yang terpengaruh dengan aksi itu turut sama berbogel dan melakukan perkara tidak senonoh bersama suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, mangsa tidak menyedari bahawa aksi berkenaan telah dirakam sehinggalah suspek menghantar video aksi itu sebaik menamatkan panggilan.
“Mangsa telah diugut supaya menyerahkan wang kepada suspek bagi mengelak penyebaran video terbabit.
“Dia telah melakukan pemindahan wang RM200,000 sebanyak 38 kali menerusi perbankan atas talian ke dalam lima akaun bank pemilik berbeza,” katanya lagi.
Sementara itu, Mohd Yusri menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya terhadap individu yang baru dikenali di media sosial sehingga boleh mempengaruhi untuk melakukan tindakan di luar pertimbangan.
Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan. – TVS