DARO, 4 Julai: Seramai 13 penghuni hilang tempat tinggal selepas rumah mereka terbakar di Kampung Treng Matu, di sini, petang tadi.
Bagaimanapun, dalam kejadian sekitar jam 4.30 petang itu tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan, semua penghuni rumah berkenaan sempat menyelamatkan diri.
Ketua Jabatan Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu, Penguasa Kanan Bomba (PgKB) Andy Alie berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 4.50 petang.
Katanya, sepasukan sembilan anggota diketuai seorang pegawai kanan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Daro bersama sebuah jentera LFRT dan sebuah kenderaan FRV Triton dan sebuah Toyota Hilux digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran, dua pancutan dari sumber air terbuka parit.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah struktur tidak kekal yang berkeluasan 40 X 60 kaki persegi telah terbakar 100 peratus,” katanya ketika dihubungi TVS.
Katanya, dua buah rumah yang bersebelahan berstuktur tidak kekal masing-masing terbakar lima peratus.
“Keseluruhan mangsa yang tinggal di rumah pertama terdiri daripada 10 lelaki dan tiga perempuan. Semasa kebakaran berlaku kesemua penghuni sempat keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.
“Api berjaya dikawal pada jam 5.22 petang,” katanya.
Menurut Andy, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) kemudian menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.
“Operasi ditamatkan pada jam 6.42 petang dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. Operasi pemadaman turut dibantu oleh empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), empat anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), lapan petugas dari Sarawak Energy serta 25 orang penduduk kampung,” katanya. – TVS