KULIM, 3 Julai: Seorang pemuda maut dipercayai lemas selepas tergelincir ke dalam sungai di kawasan rekreasi air, Lubuk Buluh, Sungai Sedim di sini hari ini.
Mangsa berusia 18 tahun dari Taman Mutiara, Karangan di sini ditemui tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Kulim, Suprintenden Mohd Redzuan Salleh berkata, mangsa dikatakan pergi ke pusat rekreasi itu bersama tiga rakannya untuk bermandi-manda pada kira-kira 12 tengah hari.
Ujar beliau, oleh kerana ramai pengunjung kumpulan pemuda itu berpindah ke kawasan yang mempunyai arus yang dikatakan terlalu deras.
“Semasa mandi, salah seorang rakan mangsa telah tergelincir dan mangsa cuba menyelamatkan rakannya tetapi dia dibawa arus deras.
“Orang ramai membantu mencari mangsa, namun dia ditemui tenggelam di dasar sungai sebelum dinaikkan ke darat dan telah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Pusat Rekreasi Air Puteh, Junjong di sini, Mohd Redzuan berkata, seorang lelaki berusia 24 tahun ditemui mati dipercayai lemas ketika mandi-manda.
“Mangsa dari Nibong Tebal, Pulau Pinang dikatakan sampai di pusat rekreasi itu pada kira-kira 2.10 petang.
“Pemeriksaan mayat di tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah,” katanya.
Ujar beliau, kedua-dua kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. – TVS