Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pemain JDT Muhammad Akhyar Abdul Rashid diasak pemain Kuala Lumpur City FC Matko Zirdum pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi. Foto: Bernama

Diogo menyinar bantu JDT tewaskan KL City

ByBernama

KUALA LUMPUR, 4 Julai: Penyerang Brazil Diogo Luis Santo meledak hatrik pertamanya musim ini, bagi membantu penyandang juara Johor Darul Ta’zim (JDT) mengekalkan rekod tanpa kalah Liga Super 2023, dengan membelasah Kuala Lumpur City (KL City) FC, 6-1, malam tadi.

Serangan bertali arus JDT sejak perlawanan bermula di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, membuahkan hasil apabila berjaya menjaringkan dua gol awal dalam masa seminit, masing-masing menerusi Diogo dan pemain sayap sensasi Arif Aiman Mohd Hanapi.

Diogo mencetak gol sulung perlawanan selepas menyambut percubaan Leandro Velazquez pada minit ke-12, sebelum pemain sayap sensasi Arif Aiman Mohd Hanapi melepaskan sepakan leret ke gawang KL City untuk menggandakan jaringan tuan rumah, seminit kemudian.

‘Harimau Selatan’ terus mengaum, apabila tandukan Diogo menerjah jaring pada minit ke-35 dan beliau melengkapkan hatrik dengan menyambut umpanan La’vere Corbin Ong, seminit sebelum separuh masa pertama tamat.

Pelawat yang bermula agak baik di babak kedua, berjaya memanfaatkan situasi kelam kabut di depan pintu gol JDT berpunca daripada sepakan penjuru dengan tonggak pertahanan dari Croatia, Marko Zitdum menjaringkan gol sagu hati pasukannya, pada minit ke-54.

Bagaimanapun, pemain veteran Safiq Rahim, membuktikan sentuhannya masih berbisa apabila menjaringkan gol kelima pasukan bimbingan Esteban Solari pada minit ke-86 dan giliran Muhammad Akhyar pula menyambut hantaran Arif Aiman, untuk menoktahkan kemenangan besar mereka ke atas anak buah Bojan Hodak pada minit ke-88.

Kemenangan ke-15 berturut-turut menyaksikan JDT kian selesa di puncak liga dengan 45 mata manakala KL City pula jatuh satu anak tangga ke kedudukan ketujuh, dengan 23 mata.

Pencabar terdekat JDT, Selangor FC pula menang tipis 2-1 ke atas Kuching City FC, pada aksi berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Penyerang import, Ayron Del Valle Rodriguez menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-26, untuk membuka tirai jaringan tuan rumah sebelum pemain gantian, menjaringkan gol kedua Selangor pada minit ke-55, manakala penyerang Amir Amri Salleh merapatkan jurang buat Kuching City, di penghujung perlawanan.

Anak buah Tan Cheng Hoe itu, kini mengumpul 34 mata untuk kekal di tangga kedua manakala kekalahan ke-10 berturut-turut Kuching City, menyaksikan mereka berada di kedudukan ke-12 dengan enam mata.

Sementara itu, jaringan tunggal penyerang Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob pada minit ke-16, sudah cukup memastikan Terengganu FC mengutip tiga mata berharga menundukkan Kedah Darul Aman FC 1-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus.

Terengganu melonjak dua anak tangga untuk berada di kedudukan keenam liga, selepas memperoleh 23 mata dan Kedah pula kekal di tangga keempat dengan 28 mata. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan