SARIKEI, 1 Julai: Sebanyak 59 ekor lembu ditumbangkan pada Program Qurban Perdana Peringkat Bahagian Sarikei pada hari ini.
Jumlah korban terbesar di sini itu menyaksikan Timbalan Menteri Perancangan Bandar Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh menyumbangkan sebanyak 31 ekor, Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abd Wahab menumbangkan 15 ekor dan 13 ekor lagi daripada Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Dato’ Sri Huang Tiong Sii.
Program yang masing-masingnya diadakan secara serentak berlangsung di Masjid Al-Mutaqqin, Masjid Darul Saadah Taman Susur Jambu, Masjid Ar Rahmah Kampung Seberang dan Masjid Nur Permai.
Dapat disaksikan semangat kerjasama terserlah melalui penyertaan pelbagai peringkat masyarakat dalam menjayakan penganjuran program berkenaan.
Program tersebut berjaya menghimpunkan lebih 500 penduduk termasuk wakil daripada pelbagai pertubuhan dan agensi kerajaan.
Sehubungan itu, Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang menzahirkan rasa kagum dengan semangat muafakat dan kerjasama penduduk yang menjayakan penganjurannya.
Selain sayap Bapa, Wanita dan Pemuda Parti Pesaka (PBB) Kuala rajang, program turut disertai pasukan Bomba dan Penyelamat Sarikei, Jabatan Tanah dan Survei, Unit Saudara Baharu, Rando dan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Masjid.
Program bermula dengan lafaz korban, disusuli sembelihan dan agihan daging korban kepada fakir miskin di sekitar daerah ini. – TVS