KUCHING, 30 Jun: Golongan asnaf dan warga kerja Astana Negeri Sarawak diraikan dengan penyerahan daging korban bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
Kenyataan Astana Negeri Sarawak mendedahkan, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi telah menyumbang sebanyak enam ekor lembu bagi tujuan berkenaan.
“Pegawai Kanan Pentadbiran, Riziandy Nawai mewakili pekerja Astana menerima agihan daging korban di tempat parkir kereta Astana pada pagi Jumaat,” menurut kenyataan.
Dalam pada itu, Tun Taib serta isteri turut memperuntukkan sumbangan daging korban kepada 135 isi rumah di Serian.
“Penyerahan daging korban melibatkan sebanyak 28 bungkus di Kampung Darul Falah, 25 bungkus di Kampung Darul Huda dan 54 bungkus lagi di Kampung Darul Iman.
“Selain itu 28 buah isi rumah di kawasan Balai Ringin juga menerima sumbangan daripada Tun Taib serta isteri,” ujar kenyataan terbabit lagi.
Pada masa sama, Surau Hayatul Islam, Kampung Panglima Seman turut berpeluang menrima agihan daging korban manakala Kelab Belia Sadong Jaya serta Masjid Muttaqin juga terpilih untuk menerima sumbangan bagi kawasan Samarahan. – TVS