Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof (kiri) turut serta melapah daging korban selepas menghadiri Program Singgah Sebentar dan Majlis ibadah Korban DUN Tupong di Kuching. Turut kelihatan ADUN Tupong Fazzrudin Abdul Rahman (dua, kanan). Foto: TVS.

Kerajaan Persekutuan perinci tindakan pisahkan bidang kuasa urus karbon – TPM Fadillah

KUCHING, 30 Jun: Kerajaan Persekutuan berusaha untuk memperincikan tindakan bagi membahagikan bidang kuasa perdagangan dan penyimpanan karbon antara Kementerian Perladangan dan Komoditi dengan Kementerian Sumber Asli dan Perubahan Iklim.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ketika ini perdagangan karbon telahpun didagangkan dalam Bursa Saham Kuala Lumpur (KLSE) sebagai salah satu aktiviti transaksi perdagangan di bursa terbabit.

Kerajaan perincikan bidang kuasa perdagangan karbon

Bagaimanapun daripada aspek perundangan ataupun bidang kuasa berkaitan karbon menurut beliau masih berada dibawah tanggungjawab Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

“Kami sekarang ni sudah berbincang sama ada kita dapat memisahkan antara pemuliharaan karbon itu dengan perdagangan karbon untuk diberi kepada Kementerian Perladangan dan Komoditi.

“Permisahan ini sesuai dengan apa yang ditakrifkan di bawah Tadbir Urus Sosial Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESG) melibatkan karbon adalah dikira sekarang ini sebagai komoditi.

“Jadi ini sedang diperincikan antara dua kementerian tersebut dan kalau dapat dimuktamadkan maka kita akan laksanakan seperti apa yang dicadangkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Singgah Sebentar dan Majlis Ibadah Korban DUN Tupong di Kuching, hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, selain perbincangan di peringkat kementerian, perbincangan sama di peringkat Kabinet Persekutuan juga sedang dilaksanakan bagi mewujudkan satu garis panduan termasuk struktur percukaian berkaitan perdagangan karbon terbabit.

“Ia bagi membolehkan penetapan sebarang dasar atau rang undang-undang berkaitan sebelum ia dibawa untuk dibentangkan di Dewan Rakyat untuk digazetkan sebagai Dasar Karbon Kebangsaan,” jelasnya.

Terdahulu, Premier Sarawak sebelum ini mencadangkan agar perdagangan karbon di kendalikan oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi sesuai dengan takrifan oleh UNESG. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan