KOTA SAMARAHAN, 29 Jun: Kepelbagaian tugas mahasiswa ketika menjalani latihan industri atau ‘internship‘ diyakini mampu melahirkan mereka sebagai individu yang berkebolehan tinggi, kata Pengurus Besar CENTEXS Commercial, Shahren Yusri.
Menurut Shahren, mahasiswa perlu akur sekalipun tugasan yang diberi tidak seperti apa yang dituntut dalam jurusan yang diambil.
“Saya melihat perkara ini sebagai sesuatu yang positif, pelajar perlu ‘move on’ dan galas tanggungjawab itu dengan sebaiknya,” katanya pada temu bual Dialog TVS dengan tajuk Dilema ‘intern’ Cari Duit Atau Pengalaman di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu Shahren menyarankan agar pihak institusi pengajian tinggi (IPT) mempersiapkan para mahasiswa bahawa tugasan mereka ketika ‘internship‘ tidak akan berdasarkan kepada subjek jurusan semata-mata.
“Minda mahasiswa seperti ini banyak di dalam industri, mereka beranggapan bahawa mereka perlu praktikal apa yang mereka pelajari sahaja dan kalau tidak itu bukan tugas mereka.
“Jika seperti ini akhirnya mereka tidak akan diterima di dalam industri dan mereka tidak boleh ‘multitasking’,” ujarnya. -TVS