KAPIT, 29 Jun: Kelibat dua ekor buaya yang dilihat di Sungai Oyan telah menimbulkan kegusaran serta ancaman kepada penduduk sekitar di sini,
Susulan itu, operasi khas bertujuan menangkap buaya berkenaan digerakkan berikutan terdapat satu aduan yang diterima daripada penduduk di situ berhubung ancaman reptilia ganas itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kapit, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Timoty Barat berkata, operasi tersebut yang diaktifkan pada 26 Jun lalu telah diketuai oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC).
“Operasi menangkap buaya yang melibatkan pihak SFC itu telah dimulakan sejak 26 Jun lalu juga melibatkan polis, pasukan bomba, pihak sekolah dan penduduk tempatan.
“Kewujudan reptilia ganas itu telah menimbulkan kebimbangan dan mengancam penduduk serta murid sekolah di SK Nanga Oyan,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Timoty berkata, setakat ini belum ada sebarang kes serangan buaya dilaporkan di kawasan terbabit.
“Penduduk sekitar terutama pihak sekolah di SK Nanga Oyan meluahkan kegusaran ekoran kewujudan buaya itu telah menjejaskan akiviti harian mereka,” ujarnya.
Menurutnya, kelibat buaya tersebut juga dilihat cuba membaham haiwan ternakan dan peliharaan penduduk di Nanga Oyan.
Sebagai langkah pencegahan katanya, SFC telah melarang penduduk untuk menjalankan sebarang aktiviti sungai sepanjang operasi yang bermula sejak 26 Jun lalu.
“Usaha menangkap buaya dijalankan dengan memasangkan empat batang pancing di hulu dan hilir Sungai Oyan sejak Isnin lalu namun sang bedal berkenaan masih gagal dikesan sehingga jam 12 tengah hari hari ini,” jelasnya.
Timoty berkata, operasi tersebut dihentikan sementara pada tengah hari ini (Khamis) sehingga terdapat penemuan dan maklumat baharu diterima daripada penduduk setempat. -TVS