KUCHING, 29 Jun: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini menunaikan menunaikan solat sunat Aidiladha bersama hampir 5,000 umat Islam di Masjid Jamek Negeri Sarawak.
Abang Johari tiba di pekarangan masjid sekitar pukul 7.50 pagi tadi.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan  Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MAIS) Datuk Misnu Taha.
Solat sunat Aidiladha itu yang bermula pada pukul 8.15 pagi dipimpin oleh Imam Besar Negeri Sarawak, Sahibul Fadhilah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi yang kemudiannya menyampaikan khutbah khas bertajuk Iman Terpelihara Ummah Sejahtera.
Abang Johari juga dijadual menghadiri Majlis Korban Perdana anjuran Majlis Islam Sarawak pada pukul 9 pagi dan seterusnya menyempurnakan simbolik penyembelihan dan pengagihan daging korban. – TVS