KUCHING, 29 Jun: Ibadah korban kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok menumbangkan sejumlah 80 ekor lembu bagi diagihkan kepada 10 buah masjid dan surau di sekitar kawasan setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok Datuk Ibrahim Baki berkata, agihan daging korban juga melibatkan masjid di Ibu Pejabat Kontigen (IPK) Polis Sarawak.
Menurutnya jumlah sumbangan lembu korban yang diterima oleh kawasan DUN terbabit sempena Hari Raya Aidiladha kali ini direkodkan meningkat berbanding sebelum ini iaitu pada kebiasaanya antara 50 hingga 60 ekor bagi keseluruhan kawasan DUN tersebut.
“Dari Pusat Khidmat ada 20 ekor, orang yang menyumbang ada lebih kurang 20 ekor dan 40 ekor lagi adalah daripada orang atau individu yang ingin melaksanakan ibadah korban tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Zohor di Masjid Darul Ibadah Kampung Kudei Lama, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ibrahim memberitahu agihan daging korban dikhususkan kepada golongan asnaf setempat.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, Dato Sri Fadillah Yusof. -TVS