LIMBANG, 29 Jun: Sejumlah 60 ekor kerbau ditumbangkan di daerah Limbang menyaksikan Hari Raya Aidiladha kali ini dirai dalam nada meriah dan penuh kesyukuran selepas tiga tahun umat Islam di negara ini ‘berkorban’ akibat pandemik COVID-19.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata 14 ekor daripadanya merupakan sumbangan Pusat Khidmat Bukit Kota manakala selebihnya ditumbangkan oleh pelbagai pihak termasuk pemimpin tempatan, persatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan, jawatankuasa masjid dan surau dan sebagainya.
“Bagi kita di daerah Limbang, seperti mana tahun-tahun lepas jumlah kerbau yang dikorbankan dalam lingkungan 50 ke 60 ekor yang dikorbankan oleh pelbagai pihak.
“Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Kota turut menguruskan 14 ekor kerbau dan dari jumlah itu Lembaga Amanah Kebajikan Islam Limbang (LAKIL) menguruskan empat ekor kerbau yang disumbangkan pihak kita,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Sumbangan Korban, Sempena Perayaan Hari Raya Aidiladha di Masjid Jannatul Firdaus bahagian Limbang pada Khamis.
Turut sama ialah isteri Dr Abdul Rahman yang juga Pengerusi Perkim Cawangan Limbang Datin Dayang Maimunah Awang Mohd Daud serta Bendahari Lembaga Amanah Kebajikan Islam (LAKIL) Daerah Limbang Mahmud Amit.
Dr Abdul Rahman yang juga Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak turut mengajak umat Islam menjiwai semangat pengorbanan dengan bersama-sama dalam meringankan beban golongan yang memerlukan.
“Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidiladha kepada seluruh masyarakat Islam di mana saja mereka berada terutamanya bagi kita di Limbang dan saya berharap agar masyarakat menyambut Hari Raya Aidiladha ini dengan semangat penuh persaudaraan,” katanya lagi. – TVS