Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-24 tahun 2023 mencatatkan peningkatan 149.6 peratus atau 32,451 kepada 54,139 kes berbanding 21,688 kes bagi tempoh sama tahun 2022. Foto hiasan: Envato

Kumulatif kes denggi meningkat hampir 150 peratus di Malaysia

ByOdleen Catherny

KUCHING, 27 Jun: Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-24 tahun 2023 mencatatkan peningkatan 149.6 peratus atau 32,451 kepada 54,139 kes berbanding 21,688 kes bagi tempoh sama tahun 2022.

Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata sejumlah 39 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 15 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2022.

“Pada Minggu Epidemiologi ke-24 tahun 2023, jumlah kes demam denggi yang dilaporkan adalah sebanyak 2,808 kes berbanding 2,608 kes pada minggu lalu.

Jumlah tersebut meningkat sebanyak 200 kes (7.7 peratus) dengan dua kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada minggu sama,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Sehingga kini menurutnya bilangan lokaliti kawasan panas (hotspot) terus meningkat kepada 110 berbanding 95 lokaliti pada minggu yang lalu.

“Daripada 110 lokaliti hotspot yang dilaporkan, 84 lokaliti berada di Selangor, 14 lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, masing-masing empat (4) lokaliti di Kedah serta Pulau Pinang, tiga (3) lokaliti di Sabah serta satu (1) lokaliti di Perlis,” ujarnya.

Sementara itu, juga dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-24, survelan chikungunya merekodkan sebanyak dua (2) kes dengan jumlah kumulatif sehingga kini adalah 137 kes.

Bagi survelan zika pula, sebanyak 1,381 sampel darah dan 69 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.

Pemantauan di Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan mendapati jumlah kes demam denggi adalah tinggi dan berpotensi untuk terus meningkat jika tiada tindakan pencegahan proaktif dilakukan oleh semua pihak termasuk ahli masyarakat. – TVS

Tags: denggi, kkm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan