Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 2.07 mata untuk mencatatkan paras 1,391.95 berbanding 1,389.88 pada penutup Isnin.
Indeks utama dibuka 0.99 mata lebih tinggi pada 1,390.87.
Bagaimanapun, pasaran secara menyeluruh menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 136 berbalas 124, manakala 215 kaunter tidak berubah, 1,860 tidak diniagakan dan 40 yang lain digantung.
Jumlah dagangan 254.18 juta unit bernilai RM63.79 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd,Thong Pak Leng berkata FBM KLCI bergerak rendah sedikit semalam berikutan kemunculan beberapa jualan lewat melibatkan saham perkhidmatan kewangan selain seiring dengan prestasi serantau yang lebih lemah.
“Pasaran kembali meningkat hari ini tetapi kami menganggap corak dagangan adalah sama seperti semalam tanpa sebarang tanda positif, sekali gus menjangkakan indeks berlegar dalam julat 1,385-1,395.
“Kami mengunjurkan lebih banyak jualan susulan bagi saham teknologi selepas jualan semalam memandangkan sentimen terhadap sektor itu berubah berhati-hati berikutan beberapa siri kenaikan kadar di Eropah,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing memperoleh dua sen kepada RM8.72 dan RM3.88, CIMB meningkat satu sen kepada RM5.20, Tenaga Nasional turun satu sen menjadi RM9.17 manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM5.89.
Bagi saham aktif, Sapura Energy, Sarawak Consolidated dan Tanco, semuanya menambah setengah sen kepada empat sen, 44 sen dan 55.5 sen sementara DGB Asia dan Classita tidak berubah, masing-masing mencatatkan satu sen dan sembilan sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 9.46 mata pada 10,219.16, Indeks FBMT 100 memperoleh 10.05 mata untuk merekodkan paras 9,924.29 dan Indeks FBM ACE pula susut 29.58 mata kepada 5,000.72.
Indeks FBM Emas Syariah turun 1.35 mata kepada 10,497.92 dan Indeks FBM 70 kerugian 6.61 mata kepada 13,371.39.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 31.56 mata kepada 15,453.11, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian 0.02 mata lebih tinggi pada 158.58, manakala Indeks Tenaga menokok 0.27 mata kepada 781.38 dan Indeks Perladangan meningkat 4.53 mata menjadi 6,723.34.