AUCKLAND, 27 Jun: Mesyuarat Majlis Dakwah Islam Wilayah Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) pada Isnin memberi tumpuan kepada beberapa isu utama ke arah melestarikan masyarakat harmoni.
Presidennya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata RISEAP berupaya jadi rangkaian penting bagi menghubungkan negara anggota dalam mempromosikan pemahaman yang lebih mendalam.
Formula keharmonian di Sarawak wajar dikongsi bersama – Abang Johari
“Islam adalah agama keamanan. Oleh itu, pendekatan kita menekankan kepada dialog persefahaman antara agama ke arah kehidupan yang lebih baik dan aman.
“Ia juga bertujuan untuk mewujudkan masyarakat yang harmoni bukan sahaja dalam kalangan ahli RISEAP malah falsafah di sebalik dialog tersebut,” katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan ahli dari Zon Selatan pada Isnin.
Abang Johari turut menambah Sarawak adalah contoh terbaik bagi keharmonian kaum, yang beliau sifatkan sebagai formula kepada kejayaannya.
“Sarawak bumi bertuah kerana kita sangat berpengalaman berikutan masyarakat berbilang kaum dan agama.
“Saya berkesempatan untuk berkongsi pengalaman Sarawak dalam pertemuan itu,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada kerajaan New Zealand kerana telah mewujudkan satu rangka kerja kerjasama yang baharu dengan masyarakat Islam susulan insiden di Christchurch pada 2019.
Sementara itu, presiden Persekutuan Persatuan Islam New Zealand (FIANZ), Ibrar Sheikh berkata rangkaian itu platform terbaik bagi komuniti Islam untuk mengukuhkan hubungannya dengan komuniti lain.
“Kami gembira untuk berkongsi dan mempelajari dari Sarawak dan Malaysia melalui kerjasama ini,” jelasnya. – TVS