Pejabat PBB Bagi Dadah dan Jenayah (UNODC) di Vienna dalam laporannya yang dikeluarkan pada Ahad turut menyuarakan kebimbangan mengenai penyebaran dadah sintetik serta kawasan bermasalah seperti Ukraine dan Afghanistan.
Pada 2011-2021, jumlah pengguna dadah meningkat daripada anggaran 240 juta kepada 296 juta iaitu peningkatan sebanyak 23 peratus, lapor Agensi Anadolu.
Menurut agensi PBB itu, kira-kira separuh daripada peningkatan ini disebabkan oleh pertumbuhan penduduk dunia. Jumlah orang yang mengalami ketagihan dadah atau penyakit meningkat 45 peratus kepada 39.5 juta dalam tempoh itu.
UNODC memberi amaran tentang percambahan dadahseperti methamphetamine, amphetamine, fentanyl dan banyak bahan baharu dibangunkan di pasaran.
“Pengeluaran ubat sintetik murah, mudah dan cepat,” menurut UNODC.
Sektor perniagaan narkotik yang sangat fleksibel ini menyukarkan pihak berkuasa mengesan kerana tidak seperti kokain dan heroin, ia tidak terikat dengan kawasan pertumbuhan dan kitaran pertumbuhan tertentu.
Oleh itu UNODC memantau keadaan di Ukraine khususnya lokasi 79 makmal amphetamine, jumlah tertinggi di dunia, telah ditutup oleh pihak berkuasa pada tahun sebelum perang bermula, katanya.
Sejak pencerobohan Rusia pada awal 2022, jumlah rampasan dadah sintetik di Ukraine telah meningkat, manakala pasaran untuk bahan tersebut di negara jiran telah berkembang yang merupakan kesan akibat perang, kata Ketua Penganalisis UNODC Angela Me.
Di Afghanistan, UNODC melihat tanda-tanda penurunan dalam pengeluaran candu di bawah pemerintahan Taliban, namun pakar dadah PBB menegaskan bahawa Afghanistan bukan sahaja pengeksport utama candu dunia dan komoditi heroin, bahkan telah menjadi pengeluar utama methamphetamine.
“Badan pemantau dadah PBB juga bimbang tentang pertumbuhan berterusan pasaran kokain yang menyaksikan pasaran global dengan permintaan menjurus kepada lebih banyak bekalan dan bekalan membawa kepada lebih banyak permintaan,” kata Me.
Sejumlah 2,300 tan metrik kokain dihasilkan pada 2021, katanya.
Bagaimanapun, opioid — opiat semula jadi dan varian tiruannya — dan kanabis terus menyumbang kepada kebanyakan kes ketagihan dan penyakit, menurut UNODC, dengan hampir 70 peratus daripada 128,000 kematian akibat dadah pada 2019 disebabkan penggunaan opioid, menurut laporan itu. -TVS