KUCHING, 26 Jun: Bekas pelumba basikal terkenal negara, Annuar Manan dan Mohd Razif Salleh dijangka menyertai Karnival Berbasikal Layar (LCC) 2023 Edisi Kelima pada 1 hingga 3 September ini.
Karnival anjuran Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong dan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) Cawangan Layar itu dijangka disertai 350 peserta dari dalam dan luar negara seperti Brunei dan Indonesia.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu berkata, acara ini adalah bagi memperkenalkan kawasan Layar sebagai lokasi pelancongan sukan yang bersejarah terutamanya di kawasan Bukit Sadok.
“LCC akan mengadakan acara berbasikal selama dua hari yang melibatkan perlumbaan mengikut kriteria dan acara perlumbaan sejauh 90 kilometer (km).
“Selain itu, terdapat pelbagai acara lain diadakan seperti ‘fun ride’, pameran, pertandingan ratu cantik, jualan, konsert dan banyak lagi,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Rentap berkata lagi, penganjuran acara sebegini dapat mengembangkan bakat penunggang basikal khususnya belia di negeri ini selain melahirkan masyarakat yang sihat dengan aktiviti berbasikal.
Karnival dengan kerjasama Persatuan Berbasikal Sarawak itu juga diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-50 Saberkas dan sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka.
Jumlah hadiah wang tunai bagi kesemua acara yang diadakan pada tahun ini adalah melebihi RM38,000. – TVS