Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kumpulan perkusi India, Chatusram ketika ditemui TVS pada sidang media RWMF semalam. Foto: Jerry Chong (TVS)

Konsep kelestarian RWMF perlu dicontohi pesta muzik lain

ByNurul Amarlina

KUCHING, 26 Jun: Inisiatif hijau pesta muzik Rainforest World Music Festival (RWMF) perlu dicontohi pesta muzik antarabangsa lain kerana menekankan kepentingan menjaga alam sekitar.

Pemuzik kumpulan Chatusram, Supratik Chatterjee berkata, aspek kelestarian yang dipraktik pesta muzik anjuran Sarawak Tourism Board (STB) itu adalah satu konsep yang unik.

“Saya melihat orang ramai mengutip sampah sarap, tidak menggunakan plastik, kitar semula kertas, sehingga lencana kami pun diperbuat daripada biji benih, dalam erti kata lain semua orang sedar untuk menjaga hutan hujan Sarawak.

“Ini sangat penting kerana sebaik sahaja anda mula mengamalkan kelestarian, ia akan jadi sebahagian hidup anda, sebahagian budaya anda, dan apabila setiap kanak-kanak melihat apa yang anda amalkan, mereka akan ikut jejak dan kelestarian akan menjadi sebahagian tradisi masyarakat,” kata pemuzik dari India itu ketika ditemui TVS pada sidang media RWMF semalam.

RWMF 2023: Berhibur sambil menjaga kelestarian alam sekitar

Ahli kumpulannya Surojato Roy mengucapkan tahniah kepada STB sebagai penganjur kerana amat menitik beratkan aspek kelestarian sepanjang pesta tersebut diadakan.

“Konsep kelestarian ini penting, kami amat menyokong idea ini dalam mana-mana pesta muzik,” katanya.

Seorang lagi ahli kumpulan Nishaant Singh berkata, RWMF satu-satunya pesta muzik yang mengamalkan konsep hijau tersebut.

“Kami belum lagi melihat konsep ini dipraktikkan di pesta muzik lain,” katanya.

Dalam pada itu, ahli kumpulan perkusi India itu tersentuh dengan penerimaan penonton dengan muzik mereka ketika membuat persembahan hari kedua RWMF pada Sabtu.

“Kami rasa rapat dengan penonton. Apabila saya mulakan persembahan, mereka mula bertepuk tangan. Saya amat terkejut dengan respons itu kerana tepukan mereka mengikut irama muzik kami, saya rasa sangat tersentuh,” kata Nishaant. 

Antara inisiatif hijau sepanjang RWMF ialah pengurusan sisa, tiada penggunaan plastik sekali guna, penggalakan kitar semula bahan terpakai, perkhidmatan bas ulang-alik dan pembungkusan makanan yang lestari.

RWMF 2023 melabuhkan tirainya semalam, berjaya menarik kehadiran kira-kira 20,000 pengunjung dari dalam dan luar negara dengan 199 pemuzik dari 12 negara dan empat benua.

Selain menghimpunkan persembahan menarik, festival edisi ke-26 itu turut memuatkan pelbagai program lain seperti bengkel muzik, kebudayaan, pameran kraf tangan serta gerai-gerai makanan dan minuman. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan