KUCHING, 25 Jun: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Sarawak menyeru Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di sini supaya terlibat dengan ekonomi digital yang selari dengan peredaran zaman.
Pengarahnya, Dr Mazlina Shafi’I berkata, PMKS juga perlu meningkatkan tahap produktiviti masing – masing berikutan perniagaan kategori itu merupakan kumpulan terbesar dalam ekonomi negara yang merangkumi keseluruhan sebanyak 97.2 peratus.
Kata beliau, sebelum ini ekonomi dunia terkesan akibat pandemik COVID-19 yang menyedarkan bahawa aktiviti perniagaan tidak boleh lagi berjalan seperti biasa.
“Oleh itu, PMKS perlu segera mengadaptasi penggunaan teknologi digital untuk terus bertahan dan mencari peluang bersaing dalam pasaran yang lebih luas.
“Saya ingin menegaskan kepentingan penerimagunaan digital dan pembangunan pekerja berkemahiran tinggi bagi memastikan PMKS terus kekal berdaya saing dan seterusnya meningkatkan produktiviti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir Minggu PMKS 2023 Zon Sarawak di sini hari ini.
Sementara itu Dr Mazlina menambah, usaha untuk mempercepatkan pertumbuhan produktiviti diteruskan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) yang mensasarkan kepada pertumbuhan produktiviti pekerja lebih tinggi sebanyak 3.6 peratus setahun.
“MPC selaku badan yang bertanggungjawab memacu produktiviti negara akan terus komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif di peringkat nasional, sektor dan perusahaan melalui strategi yang digariskan dalam Malaysia Productivity Blueprint (MPB),” katanya.
Jelas beliau, melalui inisiatif-inisiatif yang komprehensif oleh kerajaan, PMKS tempatan dapat terus berkembang dan seterusnya membuahkan impak susulan kepada lebih banyak peluang pekerjaan.
“Ini sekali gus menjadi pemangkin untuk mencapai sasaran sumbangan PMKS terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 45 peratus menjelang 2025,” katanya. – TVS