Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan bergambar bersama penerima sumbangan. Foto: TVS

Kerjasama dan input pengusaha PKS diperlukan, bantu kembangkan perniagaan – Awang Tengah

Miri, 24 Jun: Kerajaan memerlukan kerjasama pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam usaha membantu dan mengembangkan perniagaan mereka.

Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, ini bagi mendapatkan input mereka untuk meningkatkan apa yang diperlukan pengusaha berkenaan dan ini dilaksanakan melalui Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Negeri Sarawak (SEDCC).

“Kita mahu mendengar input yang datang dari mereka yang terlibat di dalam perusahaan ini. Apa yang perlu diperbaiki, kita pertingkatkan dan kita telah wujudkan SEDCC untuk koordinasi di peringkat negeri kita.

“Jawatankuasa ini telah bermesyuarat pada 7 Mac 2023, kita telah pun memutuskan untuk melaksanakan inisiatif Semakan Proses Pendaftaran Perniagaan di Sarawak dan Pembangunan Sistem Pangkalan Data Usahawan Mikro, Kecil dan Sederhana (MSME). Ini telah dipersetujui untuk dilaksanakan bagi memudahkan lagi untuk membantu PKS,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Zon Sarawak 2023 di Coco Cabana di sini, semalam.

Pelbagai inisiatif serta bantuan kewangan dan bukan kewangan juga disediakan untuk pengusaha PKS seperti Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS), Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS), Program Graduan ke Arah Keusahawanan (GERAK) dan Usahawan Teknikal & Vokasional (USTEV), Program Go Digital dan Skim subsidi kadar faedah selama 3.5 tahun kepada PKS yang layak di bawah Tabung Bantuan Khas (SRF), Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Sasaran (TRRF), Pembiayaan Pelancongan PENJANA (PTF), SKMS dan SPIKS.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan menyeru pengusaha PKS untuk mengadaptasi dengan teknologi dan kaedah digital bagi mengembangkan lagi produk dan perkhidmatan mereka dengan lebih jauh.

“Ini akan memudahkan kita untuk memasarkan produk-produk kita menembusi pasaran yang lebih besar. Inilah caranya, tidak lagi macam dulu. Kalau kita nak berubah, digitiliasi mesti kita adaptasi dalam membesarkan perusahaan dan perkhidmatan kita,” ujar beliau lagi.

Awang Tengah turut menyampaikan replika cek bagi Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP), Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) dan Program Micro Connector oleh SME Corp. Malaysia serta program-program di bawah MINTRED dan SDEC selain menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman di antara SDEC, Yayasan Peneraju dan TikTok Shop.

Program Minggu PMKS yang merupakan acara tahunan oleh SME Corporation Malaysia ini diadakan bersempena dengan Minggu Usahawan Negara (MUN) anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi mengiktiraf peranan dan sumbangan PMKS kepada pembangunan ekonomi negara.

Terdapat 80 reruai disediakan untuk karnival jualan dan gerai pameran di Minggu PMKS Zon Sarawak menampilkan produk-produk makanan seperti laksa Sarawak dan kek lapis, pakaian dan kraf tangan tradisional dari kalangan pelbagai kumpulan etnik tempatan, selain produk usahawan dari negara Brunei Darussalam. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan