Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Pantai Muara Selalang, Sarikei miliki keindahan tersembunyi

ByFebbright James

SARIKEI, 25 Jun: Muara Selalang di sini berpotensi untuk dibangunkan sebagai kawasan tarikan pelancongan baharu kerana mempunyai pantai yang cantik dan bersih.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Taliff Salleh berkata, lokasi ini juga sesuai untuk mereka yang gemarkan aktiviti memancing dan menjala ikan.

Kata beliau, sekiranya kawasan itu dikunjungi ramai pelancong, ianya akan memanfaatkan penduduk sekitar terutamanya yang tinggal di Kampung Selalang.

“Pantai ini juga tidak jauh dari Tanjung Lusam dan ramai pengunjung luar dari Pasar Sarikei, Sibu dan Kabong datang ke sini,” katanya.

 

Len Taliff bersama wakil agensi kerajaan, ketua kaum dan kaunselor dan pihak media melakukan tinjauan ke Pantai Muara Selalang yang dilihat berpotensi untuk dibangunkan sebagai pusat pelancongan di bahagian Sarikei. Foto: TVS

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa meninjau kawasan itu bersama beberapa agensi tempatan.

Terdahulu, Len Taliff menyambut ketibaan Konvoi Kembara Sarawak Merdeka di Kampung Selalang di sini hari ini.

Ke arah melonjakkan potensi kawasan itu, Len Taliff berkata, pembangunan termasuk penyediaan prasarana perlu dilakukan dan seterusnya merangka strategi jangka panjang.

“Sebab itu hari ini saya bawa wakil Jabatan Tanah dan Survei, pihak Jabatan Residen, Kaunselor dan Ketua Kampung agar mereka dapat mengambil input berhubung apa yang harus dilaksanakan untuk membangunkan tempat ini.

“Mungkin pihak swasta juga boleh membantu kita untuk bangunkan tempat ini sebagai pusat peranginan.

“Di belakang pantai ini terletak Kampung Gerigat yang juga akan mendapat manfaat sekiranya kawasan ini dibangunkan,” tambahnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berpendapat, pembangunan sektor eko pelancongan di Sarikei juga merupakan salah satu strategi jangka panjang untuk menyemarakkan industri pelancongan selari dengan Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan