ALOR SETAR, 25 Jun: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah bagi penggal ke-14 akan dibubarkan pada Rabu ini (28 Jun) bagi membolehkan pilihan raya negeri (PRN) diadakan.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika mengumumkan perkara itu berkata berkata penetapan tarikh dibuat selepas mendapat perkenan daripada Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
“Hari ini saya ingin memaklumkan bahawa saya telah diterima mengadap Tuanku Sultan Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah untuk memohon perkenan bagi pembubaran DUN Kedah yang ke-14.
“Tuanku telahpun memberi perkenan untuk DUN Kedah yang ke-14 ini dibubarkan pada 28 Jun 2023,” katanya pada sidang media selepas selesai menghadap Sultan Sallehuddin di sini hari ini.
Muhammad Sanusi berkata sehubungan itu, bermula pada tarikh berkenaan pentadbiran Kerajaan Negeri akan dijalankan oleh kerajaan interim ataupun Caretaker Government, dengan segala fungsi kerajaan akan berlangsung sebagaimana biasa sehingga Kerajaan Negeri yang baharu dibentuk selepas PRN yang akan datang. -TVS