KUCHING, 23 Jun: Malaysia hantar angkasawati? Ia tidak mustahil jika ada wanita yang layak, kata angkasawan pertama negara, Dato’ Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha.
Menurutnya, peluang wajar direbut semua pihak tanpa mengira gender susulan Malaysia dijangka menghantar angkasawan atau angkasawati menjelang 2030.
Pengetahuan sains dan teknologi perlu seiring dengan sejarah
“Berdasarkan ‘blueprint’ (rangka tindakan), kita akan menghantar wakil ke angkasa pada 2030. Kita berharap kali ini lebih ramai wanita menyertainya, sekali gus bergelar angkasawati. Saya amat berharap juga wakil itu berasal dari Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Pameran Museum of The Moon di Muzium Budaya Borneo, di sini, malam tadi.
Pameran berkenaan dirasmikan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Ketika ditanya sejauh mana perancangan dalam merealisasikan ‘blueprint’ tersebut, beliau berkata proses pemilihan dijangka diadakan dalam dua atau tiga tahun lagi.
“Proses pemilihan akan bermula pada 2025, 2026 begitu, jadi akan mengambil beberapa tahun lagi.
Saya harap keadaan politik negara akan lebih stabil dan kerajaan yang mentadbir akan lebih futuristik untuk melihat kepada bidang angkasa ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau yang kagum melihat keindahan Muzium Budaya Borneo berkata pihak muzium disaran menganjurkan lebih banyak aktiviti bersama para pelajar terutamanya dalam merangsang minat generasi muda dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Supaya lebih ramai lagi golongan muda kita ini berminat untuk menjadi doktor, saintis dan juga jurutera aeroangkasa,” katanya. – TVS