BUTTERWORTH, 22 Jun: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menahan 23 warga asing selepas didapati membawa kenderaan tanpa memiliki lesen memandu dalam satu operasi di Seberang Jaya di sini hari ini.
Pada Ops Pemandu Warga Asing (Pewa) hampir tiga jam bermula pukul 7.30 pagi tadi, antara yang ditahan ialah warga Bangladesh, Indonesia, Pakistan, Myanmar dan etnik Rohingya.
Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa berkata, pihaknya mengesan 17 penunggang motosikal dan enam pemandu kereta termasuk van yang didapati tidak memiliki lesen.
“Sebanyak 89 saman dikeluarkan kepada warga asing pada operasi ini.
“Rata-rata mereka ditahan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di sekitar Sungai Dua (Butterworth) dan Kulim, Kedah,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ujar beliau, kebanyakan kenderaan yang disita pihaknya pada operasi itu didapati didaftarkan atas nama pemilik tempatan dan disewakan kepada warga asing.
“Hasil siasat mendapati motosikal disewa sekitar RM300 hingga RM500 sebulan manakala kereta antara RM500 hingga RM1,000 mengikut jenis dan kapasitinya.
“Pelbagai risiko boleh berlaku sekiranya warga asing ini memandu atau menunggang kenderaan tanpa memiliki lesen sah dan terlibat dalam kemalangan,” katanya lagi.
Tambah beliau, dalam tempoh sejak Januari hingga semalam sebanyak 409 saman dikeluarkan terhadap pemandu warga asing selain 109 kenderaan disita. – TVS