KUCHING, 22 Jun: Kem Sape 2023 berjaya mencapai matlamatnya untuk mempromosikan alat muzik ikonik Sarawak, sape kepada golongan belia pelbagai kaum dari seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Perpaduan Sarawak (YPS), Datu Aloysius J. Dris berkata, menerusi kem itu seramai 15 orang peserta berpeluang mengenali, mempelajari dan seterusnya bermain sape.
Kem berkenaan kata Aloysius juga telah menjadi medan penyatuan rakyat berbilang kaum di Malaysia.
“Antara belia yang sertai kem ini termasuklah seorang wakil masyarakat India, Orang Asli dan dua lagi dari Sabah iaitu belia keturunan Kadazan dan orang Rungus,” katanya kepada TVS.
Majlis penutupan dan graduasi program itu yang berlangsung di Muzium Budaya Borneo telah dihadiri oleh bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.
Alfred Jabu ketika berucap pada majlis meluahkan rasa kagum kepada golongan belia yang berminat dengan alat muzik berkenaan.
“Saya berasa kagum terutamanya kepada mereka yang bukan berasal dari Sarawak yang berusaha untuk mempelajari sape dan menghargainya.
“Terima kasih kepada pemain sape Sarawak yang berusaha mempromosikan alat muzik dan saya difahamkan, permainan ini turut menarik perhatian peminat muzik antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Kerajaan Sarawak telah memainkan peranan proaktif untuk mempromosi dan membangunkan sape.
“Rainforest World Music Festival merupakan contoh terbaik bagaimana alat muzik Sarawak yang pernah berada di ambang kepupusan kini menjadi tarikan bagi pengunjung dari seluruh dunia,” katanya. -TVS