JAKARTA, 23 Jun: Sebuah pesawat dari syarikat penerbangan Semuwa Aviasi Mandiri (SAM) Air ditemukan terhempas di Papua Pegunungan, Kabupaten Yalimo, hari ini.
Pesawat jenis Cessna 208 itu terputus hubungan sejak 10 pagi waktu tempatan ketika dalam penerbangan di laluan Elim-Welarak, Kabupaten Yalimo.
Usaha mencari yang dilakukan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) wilayah Jayapura berjaya apabila mendapati pesawat yang terhempas itu terbakar masih dengan kepulan asap pada pesawat di tengah-tengah pergunungan tujuh minit selepas berlepas.
Menurut Ketua SAR Jayapura, Marinus Ohoirat, terdapat enam penumpang dalam pesawat yang dipercayai semuanya maut tetapi pemindahan masih belum dapat dilakukan.
“Kami sudah menemui lokasi pesawat terhempas, namun keadaan mangsa disyaki maut berdasarkan pandangan dari helikoter.
“Pasukan SAR belum dapat menghampiri atas faktor cuaca dan pemindahan mungkin akan dilakukan pagi esok,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.
Beliau turut menegaskan lokasi pesawat terhempas adalah wilayah yang tidak boleh diakses melalui darat sehingga pemindahan hanya akan dilakukan melalui udara.
Operasi menyelamat juga akan melibatkan pasukan daripada polis dan tentera bagi mempercepatkan pemindahan. – TVS