KUCHING, 4 Jun 2021 – Stok bekalan darah di seluruh negeri Sarawak berada pada tahap berjaga-jaga.
Malah, tidak mustahil jumlahnya akan terus menurun jika tiada yang tampil menderma darah.
Ketua Jabatan Perkhidmatan Transfusi dan Bank Darah Hospital Umum Sarawak (HUS), Dr Mohammad Masrin Md Zahrin, menyeru orang ramai untuk turut serta dalam usaha memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi.
“sejak PKP selepas Hari Raya dan Hari Gawai, permintaan darah menunjukkan peningkatan bagi pesakit mangsa kemalangan, ibu mengandung yang mengalami komplikasi pendarahan, bayi pra matang, pesakit kanser dan talisemia serta pesakit mengalami pembedahan kecemasan dan diperlukan sepanjang masa.” Jelasnya.
Tambah Dr Mohammad Masrin, orang ramai yang sihat digalakkan untuk menderma darah bagi memastikan kelangsungan stok bekalan darah yang sedia di hospital.
Ia selaras dengan slogan hari penderma darah sedunia peringkat kebangsaan ‘derma darah, teruskan nadi kehidupan’ yang kebiasaannya disambut pada 14 jun. //
Dalam pada itu, bagi mereka yang berminat untuk menderma darah boleh mendapatkan maklumat menerusi laman Facebook Blood Bank Hospital Umum Sarawak (BBHUS)) untuk mengetahui lokasi dan masa untuk menderma darah. //
Sambutan Peringkat Kebangsaan secara Maya Hari Penderma Darah Sedunia akan berlansung di negeri Sarawak pada 19 Jun 2021 untuk menghargai sumbangan penderma dan penganjur aktiviti derma darah. – TVS