LUNDU, 21 Jun: Membaca kitab suci al-Quran harus dijadikan sebagai amalan harian dalam kalangan masyarakat Islam bagi memupuk kecintaan terhadap kalam Allah, malah pendedahan awal kepada generasi muda khususnya diyakini mampu melahirkan kelompok yang mencintai al-Quran.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan mahukan ibu bapa menggalakkan anak-anak belajar mengaji dan menjadikan ia sebagai salah satu amalan harian.
“Jadi hantarlah mereka (anak-anak) ke kelas mengaji dan sediakan kelengkapan yang secukupnya supaya kita dapat melahirkan generasi yang mencintai al-Quran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian penangguhan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Lundu 2023 di Dewak Mahligai Gading di sini, malam tadi.
Menurutnya, majlis tilawah al-Quran bukan sekadar untuk memperdengarkan kelunakan lantunan suara qari dan qariah, sebaliknya harus mengambil kira mesej yang disampaikan menerusi ayat yang dibaca.
Majlis itu menyaksikan Abdul Haziq Mohamad Hashim dan Che Salmah Abdul Razak dinobatkan sebagai johan qari dan qariah.
Dengan kemenangan itu, kedua-dua johan qari dan qariah berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM700, piala dan sijil sekali gus mewakili Daerah Lundu untuk bertanding di peringkat Bahagian Kuching pada 22 Jun ini.
Naib johan dimenangi Masusanto Sapawi dan Hazimah Kharpek, selain Abdul Rauf Rabuan serta Nur Shahwanie Abdullah yang menamatkan pertandingan di tempat ketiga.
Seramai 14 peserta mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut yang diadakan dua hari bermula 19 Jun lalu. – TVS