KUCHING, 21 Jun: Polis menahan kesemua suspek yang terdiri daripada empat pelajar tingkatan satu dan dua yang disyaki terlibat dalam kes buli di Kota Samarahan.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Deputi Superintendan, Brodie Brangka berkata penahanan mereka susulan mangsa iaitu pelajar tingkatan satu yang bersekolah sama dengan mereka telah membuat laporan di Balai Polis Kota Samarahan kira-kira jam 5.08 petang Isnin lalu.
Brodie berkata terdahulu siasatan awal mendapati kejadian berlaku di belakang blok kedai, Taman Desa Permai, Kota Samarahan tular di media sosial pada 19 Jun lalu.
“Mangsa telah membuat laporan polis pada 19 Jun 2023 lebih kurang jam 5.08 petang bagi memaklumkan tentang kejadian buli tersebut.
“Sebaik sahaja menerima maklumat tersebut, pihak polis telah menjalankan siasatan ke atas laporan yang dibuat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut beliau kes disiasat dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu, tular satu video berdurasi 47 saat memaparkan sekumpulan pelajar lengkap berbaju sukan sekolah telah menyerang seorang pelajar berbaju sukan hijau serta hasil penelitian mereka merupakan pelajar sekolah yang sama.
Dalam pada itu, pihak polis mengingatkan masyarakat supaya tidak menyebarkan rakaman video tersebut serta tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian supaya tidak mengganggu siasatan yang dijalankan. -TVS