Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengusaha Pipus, Manisah Saderi. Foto: Yazid Ibrahim (TVS)

Kak Manis raih RM6,000 sebulan jual pipus

ByYazid Ibrahim

SIBU, 19 Jun: Pipus yang merupakan hidangan tradisi orang Melanau kini semakin digemari oleh pelbagai kaum di Sarawak.

Menyedari potensi dimiliki oleh makanan panggang itu, seorang wanita di sini, Manisah Saderi mengambil peluang untuk menjualnya sekali gus meraih pendapatan tambahan.

Manisah berkata, gerai pipus itu merupakan sumber pendapatan sampingan kerana keluarganya turut miliki kedai makan.

“Pipus dihasilkan daripada isi ikan yang dibalut dengan daun nipah.

“Ia perlu dipanggang di atas bara sehingga masak,” katanya kepada TVS baru – baru ini.

Antara pipus yang dijualnya termasuk pipus udang, pipus sotong, pipus telur ikan, dan pipus hati pari. Foto: Yazid Ibrahim (TVS)

Selain isi ikan, Manisah juga menjual pipus pelbagai perisa termasuk udang, sotong, telur ikan dan hati pari.

Katanya, dia mula menjual pipus sejak 2002 dan bersyukur kerana masih bertahan sehingga sekarang.

 

Keistimewaan pipus Kak Manis menggunakan seratus peratus isi ikan dan tidak dicampur tepung hanya dicampur cili dan bawang sahaja. Foto: Yazid Ibrahim (TVS)

Ditanya mengenai keistimewaan pipus jualannya, peniaga yang mesra dipanggil Kak Manis mendedahkan, dia hanya menggunakan bahan terbaik iaitu ikan segar yang dibeli dari Pulau Bruit, Matu dan Daro.

“Saya gunakan seratus peratus isi ikan dan tidak dicampur dengan tepung kecuali dimasukkan cili dan bawang sahaja.

“Setiap pengusaha pipus sebenarnya mempunyai resepi rahsia masing – masing,” katanya.

Sementara itu, Manisah turut memberitahu, hidangan pipus hati pari dan ikan gonjeng merupakan antara yang paling digemari oleh pelanggannya.

Antara menu yang laris menjadi kesukaan pelanggan ialah pipus hati pari dan pipus ikan gonjeng. Foto: Yazid Ibrahim (TVS)

Manisah juga turut berkongsi cara untuk membuat pipus yang agak rumit kepada TVS.

“Selepas menyiang ikan, isinya perlu diasingkan dengan tulang dan kemudian bersihkan isi ikan.

“Isi ikan akan dikisar sehingga halus sebelum dicampur dengan rempah ratus dan bahan-bahan rahsia untuk memberi rasa.

“Isi ikan yang sudah digaul rata akan diletakkan dalam daun nipah yang dikenali sebagai memais mengikut berat yang telah ditetapkan,” katanya.

Proses seterusnya jelas Manisah, hidangan itu akan dibalut dengan kemas sebelum dipanggang.

Kak Manis juga memberitahu selain dimakan dengan nasi, pipus juga boleh dimakan begitu sahaja atau dinikmati dengan sagu seperti yang menjadi kegemaran orang Melanu.

Katanya, pipus mendapat sambutan orang ramai terutamanya ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Namun saya turut menerima tempahan sewaktu Hari Gawai dan Tahun Baharu Cina,” katanya.

Menutup bicara, Manisah berharap agar perniagaannya akan bertambah maju dan boleh memasarkan pipus ke seluruh Sarawak. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan