BAU, 20 Jun: Jasa dan perkhidmatan Deputi Superintendan (DSP) Poge Nyaon yang bersara sebagai Ketua Polis Daerah Bau memastikan daerah itu dalam keadaan selamat dan aman akan sentiasa dikenang.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner Polis (DCP) Dato Mancha Ata berkata, sepanjang menjalankan tugas sebagai Ketua Polis Daerah sudah tentu pelbagai kisah suka dan duka mengharungi cabaran dan rintangan dilalui.
“Poge telah menjalankan tugas yang baik memastikan daerah Bau ini sentiasa berada dalam keadaan selamat dan aman serta tahap jenayah sentiasa berada pada tahap terkawal.
“Saya juga berharap sokongan, komitmen dan kerjasama dalam pasukan polis diteruskan bersama pemangku Ketua Polis Daerah Bau yang baharu iaitu Asisten Superintendan (ASP) Jugah Aleng,” katanya semasa berucap pada Majlis Serah Terima Tugas di Bilik Rekreasi IPD Bau, hari ini.
Pada majlis itu Mancha menyaksikan serah dan terima tugas antara Poge dan Jugah.
Untuk rekod, Poge telah berkhidmat dalam pasukan polis selama 39 tahun 5 bulan dan 13 hari semenjak dari tarikh perkhidmatannya pada 8 Januari 1984 sehingga ke hari ini.
Majlis kemudiannya turut menyaksikan serah terima tugas Jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Daerah Bau di antara Pengerusi PERKEP Daerah Bau, Dortty Gamon, kepadaTimbalan Pengerusi PERKEP Daerah Bau, Uteh Talok dengan disaksikan oleh Naib Pengerusi PERKEP Kontinjen Sarawak, Datin Jennita William.
Turut hadir bersama Ketua Jabatan Pengurusan, Senior Assisten Komisioner (SAC) Awang Din Awang Gani, Ketua Jabatan Pengurusan Jenayah Keselamatan Komuniti, SAC T Lukas Aket serta Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, SAC Wong Ing Fung.
Majlis turut dimeriahkan dengan acara pemotongan kek persaraan Ketua Polis Daerah Bau dan penyampaian cenderahati.-TVS