Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Abdullah Saidol bersama pemimpin masyarakat dan peserta Program Jangkauan Komuniti Pertanian di Kampung Betanak dekat Daro, hari ini. Foto: UKAS.

Penubuhan kelab tani rancak aktiviti pertanian Pulau Bruit – Abdullah

DARO, 20 Jun: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol mencadangkan penubuhan beberapa unit baharu sebagai inisiatif untuk memastikan aktiviti pertanian di kawasan Pulau Bruit kekal aktif bagi menjana sumber ekonomi penduduk di kawasan itu.

Katanya, langkah itu amat penting majoriti penduduk terlibat dalam sektor perikanan di samping menghasilkan produk yang berasaskan hasil laut seperti ikan lumek salai, ikan masin dan belacan.

Malah ujarnya, aktiviti pertanian dan berkebun mampu menjadi sumber ekonomi alternatif atau sampingan yang mampu memberi pendapatan lumayan jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh dan teratur.

“Unit tersebut ialah Kumpulan Jaringan Tani seperti yang telah ditubuhkan di bawah Persatuan Nelayan Kawasan (PNK). Setiap kampung diwakili dua orang atau lebih.

“Mereka akan memberi maklum balas atau cadangan kepada agensi yang berkaitan keperluan pertanian yang wajar diberi perhatian dan tindakan,” katanya ketika ditemui pada Program Jangkauan Komuniti Pertanian di Kampung Betanak dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, penubuhan Kelab Sri Kandi Tani juga penting bagi memberi peluang penyertaan kepada golongan wanita atau suri rumah tangga yang aktif atau berminat untuk mengusahakan pelbagai produk hiliran seperti keropok, lumek atau udang salai dan lain-lain.

Pada masa yang sama, Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Semop turut mengesyorkan setiap sekolah di Pulau Bruit mempunyai Kelab Tani untuk menarik minat dan mengalakkan aktiviti pertanian dalam kalangan generasi muda.

“Begitu juga Kelab Belia Tani yang boleh berfungsi mengenal pasti golongan belia yang berminat mengikuti kursus dan kaedah pertanian yang terkini sekali gus membolehkan mereka menyertai program itu. Tujuannya ialah melahirkan warga tani muda yang lebih proaktif dan produktif,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan pusat latihan pertanian di zon tengah berikutan potensi besar kawasan itu sebagai Taman Pertanian, kerana ketika ini Sarawak hanya mempunyai satu pusat seumpama itu di Semenggok.

“Ini merupakan usaha bersungguh-sungguh kita untuk menyahut agenda kerajaan dalam membina pusat bekalan makanan yang mencukupi dan mengurangkan pengantungan terhadap bekalan makanan import terutama hasil tani,” tambahnya.

Beliau turut menyatakan komitmen untuk membantu penyaluran sumbangan dana bagi tujuan aktiviti mereka sebaik sahaja sejajar dengan penubuhan kesemua unit berkenaan. – TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan