KUALA LUMPUR, 20 Jun: Kerajaan kekal dengan pendirian untuk tidak menambat ringgit dalam usaha menangani penyusutan nilainya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan kesan buruknya kepada rakyat.
Ketika menegaskan perkara itu, Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Seri Ahmad Maslan berkata tindakan menambat ringgit akan menyebabkan Malaysia hilang keupayaan untuk meneruskan dasar monetari dan seterusnya memaksa Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) ke tahap sama seperti kadar faedah Amerika Syarikat yang kini di ambang 5.00-5.25 peratus.
“Alangkan OPR kita pada 3.00 peratus rakyat sudah rasa amat tidak selesa, ini kan pulak (jika) dinaikkan kepada 5.25 peratus.
“Satu lagi keburukan (menambat ringgit), kawalan aliran modal tidak akan bebas kerana keluar masuk pelaburan asing ke dalam negara kita akan dikawal. Apabila kita tambat nilai ringgit, maka ini menjejaskan keyakinan dan daya saing negara,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.
Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS dalam sesi awal urus niaga
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar sama ada kerajaan akan bertindak menambat ringgit serta punca kejatuhan ringgit dan usaha menanganinya.
Mengulas selanjutnya, Ahmad berkata sebahagian besar daripada kejatuhan kadar pertukaran ringgit pada tempoh terdekat ini didorong oleh pengukuhan dolar AS dan nilai mata wang serantau seperti yen Jepun, baht Thailand, won Korea, renminbi China dan peso Filipina turut susut.
“Walaupun terdapat mata wang negara jiran yang menunjukkan prestasi lebih baik berbanding dolar AS, namun negara-negara tersebut telah mengetatkan dasar monetari dengan lebih agresif,” katanya.
Ahmad berkata Malaysia juga akan memerlukan rizab antarabangsa yang tinggi untuk menjaga tambatan itu seperti nilai yang ditetapkan.
Dalam keadaan pasaran kewangan global yang tidak menentu, kadar pertukaran ringgit yang fleksibel memainkan peranan yang penting sebagai penyerap kejutan luaran di samping mengurangkan impak terhadap aktiviti ekonomi domestik
Sehubungan itu, katanya, kerajaan terus komited dan fokus dalam usaha melaksanakan polisi struktural yang berupaya meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan daya saing negara bagi menarik aliran masuk dana dan pelaburan asing yang akan menyokong pengukuhan nilai ringgit.
Ini termasuk menerusi dasar untuk menambah baik iklim pelaburan dan produktiviti Malaysia menerusi pelaksanaan Dasar Pelaburan Baharu (NIP).
“Kerajaan juga akan memastikan kemampanan fiskal dan keadaan makroekonomi yang stabil akan terus terpelihara dengan merumus dasar fiskal jangka sederhana yang teguh, berhemah dan jelas seperti Dasar fiskal, Akta Tanggungjawab Fiskal yang akan dibentangkan kepada Parlimen tidak lama lagi,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata BNM akan mengambil pendekatan untuk memastikan pelarasan ringgit berada dalam keadaan teratur.
Malah, bagi menangani kemeruapan pasaran pertukaran asing, bank pusat itu akan terus menguruskan risiko-risiko dari perkembangan domestik dan luaran serta bersedia untuk menggunakan instrumen dasar operasinya bagi memastikan keadaan pasaran yang teratur.
“Risiko daripada pergerakan mendadak nilai pertukaran ringgit berbanding dolar AS juga dapat dikurangkan melalui penggunaan instrumen lindung nilai, penekanan kepada pinjaman luar yang berhemah dan kedalaman pasaran mata wang dalam negara yang tinggi,” katanya. – TVS