LIMBANG, 4 Jun: Sebanyak 60 peratus penduduk di Daerah Limbang sudah mendaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 setakat ini. Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, daripada 40,000 orang penduduk di daerah ini, 22,000 orang sudah mendaftar untuk mendapatkan vaksin berkenaan.
Bagaimanapun katanya, setakat ini Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Suarah Limbang hanya dapat menampung 400 orang sehari.
Oleh itu, pihak kerajaan bercadang untuk menambah lebih banyak PPV di daerah ini termasuk di kawasan luar bandar iaitu Batu Danau dan Medamit.
“Jika pemberian vaksin ini bertambah, kita tidak dapat memberikan vaksin di sebuah PPV sahaja kerana ia akan menyebabkan kesesakan dan boleh menjejaskan prosedur operasi standard (SOP).
“Kita bercadang membuka lebih banyak PPV di daerah ini termasuk di Dewan Batu Danau, Dewan Masyarakat Medamit dan juga di Stadium Tertutup Limbang,” katanya.
Abdul Rahman yang juga Adun Bukit Kota itu berkata, Kerajaan Sarawak menyasarkan sebanyak 80 peratus rakyatnya akan mendapat vaksin tersebut menjelang 31 Ogos tahun ini.
Ujarnya, Kerajaan Persekutuan melalui KKM memberi kebenaran kepada Kerajaan Sarawak untuk membeli vaksin berkenaan.
“Kebenaran itu akan membolehkan kita mencapai sasaran pada Ogos depan. “Mana-mana individu yang belum mendaftar, segera mendaftar kerana ia penting untuk kita mencapai imuniti kelompok supaya dapat mengekang penularan Covid-19 ini,” ujarnya.
Sumber: Suara Sarawak