KLANG, 19 Jun: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dibubarkan berkuat kuasa Jumaat ini (23 Jun) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Perkara itu diumumkan Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani pada Istiadat Pembubaran DUN Selangor di Balai Dewan Diraja, Istana Alam Shah di sini hari ini.
Baginda turut berkenan menandatangani proklamasi pembubaran DUN Selangor.
Terdahulu, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari menghadap Sultan Selangor bagi memohon perkenan pembubaran DUN negeri itu.
Turut berangkat pada istiadat itu Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Haris Kasim, Speakar DUN Selangor Ng Suee Lim dan barisan Ahli Dewan Diraja Selangor.
Selangor antara tiga negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) yang akan mengadakan PRN tahun ini selain Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang masing-masing mengumumkan pembubaran DUN pada 28 dan 30 Jun ini.
Selain itu, tiga lagi negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan PRN tahun ini ialah Kelantan, yang akan membubarkan DUN pada 22 Jun, Kedah (28 Jun) manakala Terengganu masih berteki-teki mengenai tarikh sebenar pembubaran DUN.
Susulan perkenan Sultan Sharafuddin itu, ia menyaksikan DUN Selangor yang diterajui PH dibubarkan dua hari lebih awal daripada mandat yang sepatutnya tamat pada 25 Jun ini.
Persidangan DUN Selangor yang pertama adalah pada 26 Jun 2018, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)Â pada 9 Mei 2018.
Selepas PRU14, PH Selangor yang ketika itu dipimpin Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kekal memerintah negeri itu apabila memperoleh majoriti dua pertiga dengan menang 51 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Mohamed Azmin kemudian mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar untuk penggal kedua pada 11 Mei 2018 sebelum melepaskan jawatan tersebut untuk dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi dalam Kabinet yang ketika itu diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri.
PH kemudian menamakan Amirudin yang sebelum ini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan, Generasi Muda dan Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi sebagai Menteri Besar Selangor ke-16 dan mengangkat sumpah jawatan pada 19 Jun 2018.
Sepanjang penggal itu, Selangor menyaksikan empat Pilihan Raya Kecil (PRK) iaitu di DUN Sungai Kandis, Balakong, Seri Setia dan Semenyih berikutan penyandang kerusi daripada parti gabungan PH meninggal dunia.
Tiga daripada kerusi tersebut berjaya dipertahankan PH manakala kerusi Semenyih dirampas Barisan Nasional (BN) dalam PRK pada 2 Mac 2019.
Kedudukan terkini DUN Selangor menyaksikan PH memiliki 40 kerusi (PKR-19, DAP-15, Amanah-enam); BN (lima); Bersatu (empat); Parti Bangsa Malaysia (PBM) (dua), manakala PAS, Pejuang dan Warisan masing-masing satu kerusi serta seorang wakil rakyat bebas.
Satu lagi kerusi, DUN Batang Kali, diisytiharkan kosong setelah wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan DUN melebihi enam bulan. – TVS