KUCHING, 18 Jun: Sarawak kini dalam proses menyediakan dokumen untuk mencalonkan Taman Geo Delta Sarawak (SDGp) sebagai geopark pertama di Sarawak bagi pencalonan Geopark Global UNESCO.
Susulan itu, Sarawak akan menjadikan Geopark UNESCO Global Pulau Jeju di Korea Selatan sebagai platform untuk belajar bagi persediaan ke arah menjadikan Delta Sarawak diiktiraf sebagai Geopark Global UNESCO.
Justeru itu, Sarawak telah menganjurkan lawatan penanda aras ke Geopark Unesco Global Pulau Jeju pada 14 hingga 20 Jun 2023.
Objektif lawatan tersebut adalah untuk mengetahui cara Korea Selatan menguruskan UGGp Pulau Jeju khususnya mengenai aktiviti penglibatan komuniti, tadbir urus, pembangunan sosio-ekonomi, geopelancongan dan sebagainya.
Menerusi lawatan tersebut, Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan Pulau Jeju.
Katanya, banyak yang perlu dicontohi daripada UGGp Pulau Jeju, terutamanya mengenai penglibatan masyarakat setempat.
“Pulau Jeju dipilih kerana Sarawak kagum dengan pencapaiannya yang telah mencapai ‘Triple Crown’ yang diidamkan oleh UNESCO iaitu Rizab Biosfera, Warisan Semula Jadi Dunia dan Geopark Global.
“Pulau Jeju juga merupakan destinasi pelancongan yang sangat terkenal, justeru Sarawak ingin mempelajari bagaimana khazanah alam sekitar itu dapat dipelihara dan pada masa yang sama dapat meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat,” ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Besar Jeju Island Geopark dalam ucapannya bercakap tentang kejayaan pengesahan semula ketiga mereka sebagai UGGp pada September 2022.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan minatnya untuk bekerjasama dengan SDGp melalui perkongsian pengetahuan dan inisiatif geopark saudara yang lain dalam masa terdekat.
Dalam pembentangannya, Pengurus Pulau Jeju menekankan tentang struktur tadbir urus, penglibatan komuniti, penyelidikan, pemantauan, pendidikan dan aktiviti promosi yang dijalankan di Pulau Jeju UNESCO Global Geopark.
Menerusi lawatan tersebut, Sarawak telah diwakili Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar bagi membentangkan mengenai Sarawak Delta Geopark.
Pembentangan tersebut telah mengetengahkan keistimewaan Sarawak Delta Geopark yang merangkumi 28 geosites, di mana 12 geosites mempunyai nilai antarabangsa, lapan geosites mempunyai nilai nasional dan lapan geosites mempunyai nilai tempatan.
Lawatan itu turut disertai Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan dan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Sarawak Delta Geopark dan Pengerusi Kumpulan Kerja SDGp, Datuk Len Talif Salleh. -TVS