BUKIT MERTAJAM, 18 Jun: Tindakan seorang penunggang motosikal menunda sebuah motosikal lain di Lebuhraya Utara-Selatan dekat sini mengundang padah apabila ditahan polis semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner (ACP) Tan Cheng San berkata, lelaki berusia 20-an itu ditahan kira-kira jam 3.30 petang selepas pihaknya mengesan satu video yang tular di media sosial.
Ujarnya, berdasarkan video 31 saat yang dimuat naik ke laman Twitter itu, ia memaparkan seorang penunggang motosikal menunda secara berbahaya berhampiran Plaza Tol Juru, namun tarikh dan masa kejadian tidak dapat dipastikan.
“Pihak polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan iaitu penunggang motosikal yang menunda motosikal
lain berkaitan video berkenaan.
“Tindakan saman telah dikeluarkan ke atas penunggang itu di bawah Kaedah 53(1) LN 166/59 iaitu kerana menunda kenderaan di lorong kecemasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihak polis menasihati orang ramai agar tidak melakukan perbuatan menunda kenderaan di atas jalan raya kerana ia menyalahi undang-undang serta membahayakan diri sendiri dan pengguna lain.
Sementara itu, video tular terbabit memaparkan seorang penunggang motosikal dipercayai jenis Honda EX5 menunda sebuah motosikal lain jenis sama yang tiada penunggang.
Dia dilihat mengawal motosikal yang ditunda dengan tangan kiri, manakala motosikal ditungganginya menggunakan tangan kanan.
Penunggang itu dipercayai menuju ke arah Plaza Tol Juru di sini dari selatan. – TVS