KUCHING, 17 Jun: Sebanyak 91 kontinjen yang melibatkan lebih 3,000 orang peserta menyertai acara perarakan kebudayaan masyarakat Dayak iaitu Niti Daun di Waterfront Kuching, hari ini.
Program yang disaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg itu diadakan bersempena Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka dan Perayaan Hari Gawai Dayak 2023 Peringkat Negeri Sarawak.

Abang Johari menghadiri perarakan berkenaan bersama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang juga Penasihat Jawatankuasa Kerja Sambutan Gawai Dayak 2023 Sarawak.
Beliau menyempurnakan pukulan tawak sebanyak tujuh kali dan turut mengetuai acara perarakan pada tahun ini, yang mana kali terakhir ia diadakan di Kuching pada 2018.

Kontinjen yang berarak terdiri daripada Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Dayak, Jabatan Kerajaan, Persatuan-Persatuan Kebudayaan Dayak, Ketua-Ketua Kaum dan masyarakat Dayak dari seluruh Sarawak.
Perarakan sejauh 1.2 kilometer (km) Niti Daun ini bermula pada jam 2.15 petang di pekarangan Bangunan Tun Jugah dan berakhir di Tebingan Kuching berdekatan Jambatan Darul Hana.
Perarakan Niti Daun menampilkan kepelbagaian dan keunikan kebudayaan masyarakat Dayak Sarawak khasnya dari segi pakaian, tarian dan masyarakatnya.

Pada masa sama, perarakan tersebut juga dilihat mampu menarik perhatian pelancong asing dengan persembahan-persembahan tradisional dan pakaian-pakaian tradisi masyarakat Dayak Sarawak.
Sementara itu, bagi salah seorang peserta kontinjen R&R Borneo Cultural, Desheila Amyra Digon, beliau amat berpuas hati dengan penganjuran acara perarakan Niti Daun yang diadakan pada tahun ini.

“Walaupun kami tidak menang pada kali ini, namun kami tetap bersyukur kerana dapat pengalaman baharu dan merasai situasi kemeriahan yang ada di dalam program ini.
“Kami juga dapat berjumpa dan berkenalan dengan ramai orang yang hadir pada perarakan berkenaan, jadi itu merupakan memori yang terindah buat kami,” katanya ketika ditemui TVS.
Manakala bagi seorang pelancong asing dari Perancis, Laurent Deparis, beliau berasa amat teruja dapat melihat kepelbagaian etnik dan suku kaum yang terdapat di Sarawak dan bakal kembali melawat negeri ini jika berpeluang.
Terdahulu, perarakan Niti Daun pertama kali dianjurkan pada 1993, seterusnya diadakan pada 2018 dan masih berlangsung sehingga ke hari ini. -TVS