Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine pada Majlis Makan Malam Konvoi Kembara Sarawak Merdeka Bahagian Mukah sempena Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka di Mukah semalam. Foto: Faitullah Morni (TVS)

Komitmen wakil rakyat pemangkin Sarawak capai status negeri maju 2030

ByMuqri Aziz

MUKAH, 17 Jun: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine menyifatkan komitmen wakil rakyat serta keterlibatan agensi-agensi kerajaan bersama-sama mampu mencapai hasrat Sarawak menjadi negeri maju menjelang 2030.

Ini kerana menurutnya, Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berupaya mencari jalan bagi meningkatkan pendapatan serta memacu lagi ekonomi Sarawak.

“Jadi, kita harap dengan komitmen agensi-agensi kerajaan yang ada serta komitmen semua wakil-wakil rakyat kita bersama dengan kepimpinan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kita dapat mencapai matlamat ini dalam tempoh beberapa tahun sahaja lagi.

“Tanpa sokongan wakil rakyat dan sokongan di peringkat akar umbi mungkin agak lambat untuk kita mencapai kemajuan ini tapi apabila kita lihat dalam tempoh beberapa tahun ini, kerajaan kita semakin kukuh dari segi mencari pendapatan untuk negeri kita dan membangunkan Sarawak dengan sumber tenaga dan ekonomi baharu,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Konvoi Kembara Sarawak Merdeka Bahagian Mukah sempena Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka di sini, semalam.

Mengulas mengenai Konvoi Kembara Sarawak Merdeka, katanya, penglibatan media dalam membuat liputan sepanjang Konvoi Kembara Sarawak Merdeka dapat memberi peluang yang luas dalam mempromosikan budaya serta aktiviti pelancongan yang ada di Sarawak.

“Saya ada melihat di sosial media terutamanya pihak TVS yang aktif untuk bergerak ke kawasan Mukah dan menyaksikan sendiri pembuatan keropok ikan kering di Oya serta beberapa aktiviti kemasyarakatan dan juga sumber ekonomi yang ada di Mukah dapat kita tonjolkan.

“Jadi, terima kasih kepada pihak media terutamanya TVS yang turut serta bersama dengan kita sepanjang konvoi ini kerana sememangnya pihak media memainkan peranan penting dalam mempromosikan sumber ekonomi yang ada,” katanya lagi.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Mukah Datuk Hanifah Hajar Taib, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datu Hii Chang Kee, ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dolhadi Mazuki.

Konvoi kembara akan diteruskan dari Bahagian Mukah ke Bahagian Sibu yang akan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap ADUN Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah di Dewan Suarah Mesra Mukah hari ini. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan