KUCHING, 17 Jun: Masyarakat di Sarawak kini boleh bermegah dengan berkibarnya bendera Ibu Pertiwiku, tiang bendera tertinggi di Malaysia di seberang sungai Tebingan Kuching.
Terletak berhampiran Kubu Margherita Kuching, tiang bendera tertinggi di Malaysia itu sepatutnya dijadual siap pada November tahun ini.
Bagaimanapun, ikonik baharu Sarawak yang berukuran kira-kira 99 meter tinggi itu siap lebih awal dan telah mula berkibar hari ini.
Untuk rekod, tiang bendera yang didirikan sempena sambutan ulang tahun ke-60 Sarawak itu berukuran empat meter lebih tinggi daripada tiang bendera tertinggi semasa iaitu di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek yang bernilai RM30 juta itu dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Ia lambang kedaulatan, patriotisme, perpaduan dan kebanggaan Sarawak. Projek ini juga strategik kerana terletak di tengah-tengah bandaraya Kuching dan dapat dilihat dari beberapa sudut yang akan menjadi tumpuan pelancong.
“Selain itu, ia bersebelahan dengan DUN Sarawak dan Waterfront yang menjadi lokasi penting untuk penganjuran aktiviti tempatan dan antarabangsa mahupun majlis rasmi pada masa akan datang. – TVS