Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Acara Niti Daun 2023, Datuk John Sikie Tayai. Foto: TVS

Niti Daun tonjol perpaduan kaum di Sarawak

ByAkma Salleh

KUCHING, 16 Jun: Persiapan Perarakan Niti Daun sempena Hari Gawai Dayak yang bakal menjadi tumpuan warga bandar raya ini dan para pelancong esok (Sabtu) berjalan lancar.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Acara Niti Daun 2023, Datuk John Sikie Tayai berkata beliau berharap cuaca baik sepanjang perarakan yang akan diketuai Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, disertai Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Baca artikel berkaitan:

  1. 1. Abang Johari ketuai Perarakan Niti Daun 2023 Sabtu ini
  2. 2. Beberapa jalan ditutup bagi memberi laluan Niti Daun, Sabtu ini

 

“Setakat ini, persiapan kita memberangsangkan saya kira dalam 90 peratus. Saya harap esok (17 Jun) acara ini dapat berjalan dengan lancar,” katanya ketika ditemui TVS ketika meninjau persiapan di sini, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata Niti Daun memberi peluang masyarakat Dayak menonjolkan kepelbagaian budaya dan warisan.

“Acara ini akan memberi peluang kepada orang Dayak sempena dengan sambutan Gawai Dayak di samping menunjukkan kepelbagaian budaya termasuk kostum dan pakaian tradisonal dari kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.

“Ini juga akan menarik pengunjung untuk datang ke Sarawak dan kita boleh tunjukkan kepada mereka walaupun kita mempunyai pakaian tradisonal yang berlainan tetapi silaturahim antara kita erat,” jelasnya.

Malah ujarnya, Niti Daun kali ini amat bersesuaian dan tepat pada masanya kerana secara tidak langsung, acara sedemikian turut menarik minat generasi muda.

“Saya sendiri esok (17 Jun) akan mengenakan pakaian tradisional. Perkara ini kita mesti tonjolkan termasuk kepada anak muda.

“Kadang-kadang, mereka tidak faham walaupun mereka berdarah Dayak, tetapi pakaian tradisonal seperti ‘Baju Burung’ pun mereka tiada,” katanya.

Pada masa sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Jefferson Jamit Unyat menyifatkan Niti Daun adalah satu perayaan penting di Sarawak terutama melibatkan sambutan Gawai.

“Acara ini sememangnya kita adakan di setiap bahagian, daerah sejak dahulu lagi ketika sambutan Gawai. Ini sebahagian daripada komponen perayaan itu.

“Saya percaya esok (17 Jun) lebih daripada 3,000 orang akan menyertai kita dalam perarakan ini,” katanya.

Perarakan Niti Daun bermula dari Bangunan Tun Jugah dan berakhir di Jambatan Darul Hana.

Untuk rekod, kali pertama perarakan ini diadakan di Kuching ialah pada 1993.

Acara ini diteruskan di beberapa bahagian dan daerah di Sarawak sehingga sekarang. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan