Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Seorang pengurus projek berputih mata apabila rugi hampir RM400,000 ditipu sindiket Phone Scam.Foto: Envato

Dua wanita rugi RM646,854 diperdaya ‘phone scam’

KUCHING, 16 Jun: Seorang kerani akaun sebuah syarikat di Miri menjadi mangsa ‘phone scam’ setelah terpedaya dengan taktik pemanggil yang memperkenalkan diri sebagai inspektor Khoo dan sarjan Wong.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata wanita berumur 62 tahun di Miri itu menerima panggilan pihak yang mendakwa daripada Kementerian Kesihatan Malaysia pada 17 April lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri. Foto: PDRM

Pemanggil mengatakan mangsa ada kes menyebarkan berita palsu tentang COVID-19.

“Mangsa kemudiannya disambungkan kepada pihak (yang mendakwa) polis dari Kota Kinabalu dan berbual dengan beberapa penama iaitu inspektor Khoo, sarjan Wong.

“Dalam perbualan bersama individu terbabit mangsa dimaklumkan turut terlibat dengan kes penyebaran berita palsu tentang COVID-19 dan akaun bank mangsa ada terlibat dengan kes jenayah di Kota Kinabalu,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Suspek kemudian mengarahkan mangsa perlu membuka akaun bank baru atas nama mangsa dan memindahkan wang milik mangsa ke dalam akaun tersebut bagi tujuan siasatan.

Mangsa membuka satu akaun bank di sebuah institusi kewangan di Miri dan memindahkan wang dari akaun simpanan, akaun KWSP kepada akaun baru.

Wanita berkenaan juga menyerahkan butiran perbankan berserta kata laluan perbankan dalam talian kepada suspek.

“Mangsa hanya menyedari telah ditipu setelah semakan dengan pihak bank terdapat 31 transaksi pemindahan wang keluar antara tarikh 18.4.2023 hingga 5.5.2023 keseluruhan berjumlah RM496,962 dari akaun bank miliknya ke akaun bank atas nama individu tidak dikenali,” katanya.

Satu lagi kes terjadi kepada seorang wanita berumur 59 tahun yang bekerja sebagai kerani akaun di sebuah syarikat swasta di Miri.

Pada 15 Jun, semasa berada di tempat kerjanya, mangsa menerima mesej dan panggilan dari nombor telefon tidak dikenali yang memperkenalkan diri daripada Bank Negara Malaysia.

Menurut Mohd Azman, pemanggil mengatakan mangsa ada transaksi penggunaan wang yang meragukan ke akaun bank lain.

“Suspek kemudian mengarahkan mangsa untuk memberikan maklumat akaun bank mangsa seperti nombor akaun, kata pengguna dan kata laluan.

“Pada hari sama, mangsa menerima pemberitahuan berlaku pengeluaran wang RM49,999 dan mangsa diarahkan membuka aplikasi perbankan dalam talian agar membuat pengesahan mengenai pengeluaran wang tersebut,” ujarnya.

Mangsa bertanyakan mengenai pengeluaran wang tersebut dan diberitahu wang tersebut dipindahkan untuk sementara sehingga akaun bank selamat dan wang akan dipindahkan semula.

“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu setelah memberitahu perkara tersebut kepada suaminya dan semakan dengan pihak bank terdapat 15 transaksi pemindahan wang keluar keseluruhan berjumlah RM149,892 dari akaun bank miliknya ke akaun bank atas nama individu tidak dikenali,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan