KUCHING, 15 Jun: Kisah kejayaan komuniti Cina Muslim akan dikongsikan menerusi Persidangan Cina Muslim Antarabangsa (ICMC) 2023 di sini pada Ogos ini.
Naib Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Datin Norhana Ng berkata persidangan berkenaan mensasarkan kehadiran 300 peserta dari dalam dan negara luar.
“Persidangan ini bertujuan mendedahkan mereka dalam mencipta rangkaian, perniagaan global terutamanya pasaran halal yang juga merupakan pasaran terbesar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.
Abang Johari dijadual akan menghadiri majlis makan malam sempena persidangan berkenaan.
Norhana berkata lagi, para peserta dari Filipina, Singapura dan China dijangka menghadiri persidangan di Hotel Waterfront bermula 18 hingga 20 Ogos.
Menurutnya, antara objektif persidangan adalah untuk mempromosikan bagaimana mayarakat Cina Muslim boleh membina masyarakat harmoni dengan toleransi pelbagai budaya walaupun hidup dalam komuniti kecil di negara mereka. – TVS