MUKAH, 16 Jun: Penglibatan semua pihak amat penting dalam menyalurkan maklumat yang tepat dan sahih kepada masyarakat.
Menurut Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib, kerjasama erat antara agensi kerajaan dan komuniti setempat juga penting dalam menyalurkan maklumat mengenai dasar-dasar dan inisiatif semasa kerajaan termasuk isu-isu semasa.

Hanifah yang juga Ahli Parlimen Mukah berkata, jika semua pihak memainkan peranan masing-masing, maka sebarang maklumat palsu atau kesalahan fakta sudah pasti dapat dibendung.
Berucap pada Program Komunikasi Tindakan Setempat di Sekolah Kebangsaan Kampung Petanak di sini, hari ini beliau berkata kerjasama erat amat penting bagi memastikan setiap agenda dapat dilaksanakan.
“Jika kita melihat kerjasama yang wujud dalam gabungan Kerajaan Perpaduan yang berteraskan prinsip Malaysia Madani, jelas memperlihatkan iltizam tinggi untuk memfokuskan kepada kestabilan politik negara bagi mendepani isu-isu ekonomi dan pembangunan serta kesejahteraan rakyat.
“Dalam hal ini, saya melihat kerajaan di peringkat Persekutuan dan Negeri di Sarawak sentiasa bekerjasama setiap masa untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat.
“Insya-Allah, jika kita dapat meneruskan keharmonian yang baik ini, sudah pasti ia akan memberikan kesan dan limpahan ke atas rakyat Sarawak khususnya penduduk di Mukah juga,” katanya.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak Jaafar Jantan dan Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Sabah Edi Rizam Kassim, Pemangku Pegawai Daerah Mukah Peleaszman Ahip dan Guru Besar SK Kampung Petanak Mohamad Nazri Mokhtar. – TVS