KUCHING, 16 Jun: Polis Sarawak berjaya menumpaskan kumpulan penjenayah ‘Geng Baby’ yang didapati aktif melakukan samun bersenjata dengan mensasarkan warga emas sebagai mangsa di waktu awal pagi.
Persuruhjaya Polis Sarawak Dato Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, kesemua suspek yang terdiri daripada dua wanita dan lima lelaki berusia 23 hingga 30 tahun itu ditahan di beberapa lokasi berasingan di sekitar Kuching, Kota Samarahan dan Padawan.
Katanya penahanan itu membawa kepada rampasan barang kes iaitu sebuah motosikal yang dilaporkan hilang di Daerah Padawan serta kad bank dipercayai milik mangsa beberapa senjata tajam dan sembilan telefon bimbit pelbagai jenama.
“Modus operandi mereka adalah mensasarkan warga emas sebagai mangsa pada waktu awal pagi dan kumpulan ini bergiat aktif di daerah Kuching, Samarahan dan Padawan.
“Dengan tertumpasnya kumpulan ini, pihak polis telah berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 13 kes samun ragut, dua kes curi dalam bangunan dan satu kes kecurian motosikal,” katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Kontigen (IPK) Polis Sarawak di sini hari ini.
Menurutnya, pihak polis menganggarkan kerugian berjumlah RM42,000 susulan kes-kes berkaitan.
“Ujian saringan awal air kencing yang dilakukan ke atas semua suspek juga turut mendapati kesemua mereka positif dadah.
“Kes-kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 395, Seksyen 397, Seksyen 380 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan dengan kesemua suspek masih ditahan reman hingga 17 Jun ini bagi membantu siasatan,” katanya. TVS