OYA, 15 Jun: Bermula sekadar menolong kakaknya dalam perniagaan keropok ikan, Saptuyah Sirah kini bergelar tauke produk hasil laut berkenaan.
Wanita berusia 49 tahun ini berkata, penglibatan sebagai usahawan yang mengeluarkan produk makanan kering itu juga bermaksud dia menyambung legasi perniagaan keluarganya.
@tvstvmy Tahukah anda keropok ‘made in Oya’ ini telah wujud di pasaran sejak tahun 2004? 📹 TVS TVS122 TVSNews #KeropokIkan fyp beritaditiktok TVSUtama Oya sarawak
♬ original sound – TVS News – TVS News
“Keluarga mula menjalankan perniagaan ini sejak 2004 dan berkekalan hingga hari ini.
“Sebenarnya dahulu saya tidak mahir menghasilkan keropok, semuanya bermula dengan sekadar menolong kakak namun lama kelamaan timbul minat mahu mengeluarkan keropok,” katanya kepada TVS.
Menurutnya, kepelbagaian hasil laut di Mukah dimanfaatkan sepenuhnya untuk mencari rezeki.
Hari ini, Saptuyah meluncur laju dalam perniagaan apabila menghasilkan pelbagai keropok yang berperisa udang, ikan parang dan ikan tenggiri.
Malah dia juga memperkenalkan keropok sotong dan bersyukur kerana produknya laris.
“Sekarang saya mampu memproses ikan mentah untuk dijadikan keropok kering sebanyak 20 kilogram (kg) sehingga 30 kilogram sehari,” katanya.
Ditanya bagaimana mendapatkan stok ikan, Saptuyah memberitahu, dia mencari bekalan ikan di beberapa pasar di Mukah dan Oya.
“Bagaimanapun ketika musim tengkujuh, saya akan membeli di Bintulu,” katanya.
Ketika tinjauan TVS, Saptuyah juga sudi berkongsi proses pembuatan keropok ikan menggunakan mesin.
Katanya untuk membuat keropok, terdapat beberapa peringkat dan ‘cara memasak’ perlu teliti supaya dapat menghasilkan produk yang berkualiti.
“Proses pertama melibatkan pengasingan tulang ikan menggunakan mesin untuk mendapatkan isi ikan bersih yang tidak bercampur tulang.
“Kemudian isi ikan akan dicampur dengan doh sehingga adunan sebati dan seterusnya akan dikukus.
“Setelah masak, doh akan diwarnakan mengikut warna yang diinginkan sebelum disejuk beku selama sehari atau dua hari,” jelasnya.
Proses seterusnya jelas Saptuyah melibatkan pemotongan doh menggunakan mesin pemotong khas.
“Proses akhir keropok perlu dijemur sehingga kering di bawah matahari yang terik,” katanya.
Ditanya mengenai penggemar keropoknya, dia memberitahu makanan kering yang dihasilkan itu mendapat sambutan terutamanya dalam kalangan pelanggan berbangsa Cina.
“Bila tiba musim Tahun Baharu Cina, keropok akan cepat habis, kadang- kala pelanggan berebut mahu beli, seronok berniaga,” katanya sambil tersenyum.
Lebih menggembirakan wanita ini mengakui keropok keluarannya juga dicari oleh pelanggan dari luar Mukah termasuk Sibu, Bintulu, Miri dan Kuching malah dia turut menerima tempahan dari Semenanjung Malaysia.
“Saya berharap agar perniagaan ini akan terus berkembang di Sarawak serta di Semenanjung Malaysia,” katanya. -TVS